NAJIB   ketika mempengerusikan mesyuarat majlis pertama ECERDC, semalam.  Jebasingam di sebelah kiri.
NAJIB ketika mempengerusikan mesyuarat majlis pertama ECERDC, semalam. Jebasingam di sebelah kiri.

Kuala Lumpur: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM73.04 bilion dari 2007 sehingga Mac tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issac John berkata, pelaburan itu akan mewujudkan 73,708 peluang pekerjaan baru bagi rakyat dan mewakili 66 peratus daripada sasaran pelaburan ECER bernilai RM110 bilion menjelang 2020.

Beliau berkata, mengikut sektor, kluster pembuatan penyumbang terbesar iaitu RM39.8 bilion diikuti pelancongan (RM13.5 bilion), bioekonomi (RM5.6 bilion) dan minyak, gas dan petrokimia (RM4.8 bilion).

“Kerajaan memperuntukkan RM6.6 bilion bagi ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK-9) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10) dan pelaburan awam merangkumi projek prasarana strategik serta modal insan dan program pembangunan keusahawanan yang membuahkan hasil,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat majlis pertama ECERDC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Katanya, tahun ini sangat penting kerana ia menandakan tahun akhir RMK-10, sebelum beralih kepada RMK-11 tahun depan.

“Justeru itu, ECERDC akan terus memberikan penekanan sama rata kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat bagi memastikan pembangunan berimbang serta inklusif dalam ECER.

“Di masa depan, tumpuan akan diberikan kepada sektor hasil tinggi seperti bioteknologi, minyak, gas dan petrokimia, serta teknologi maklumat dan komunikasi yang boleh mengembangkan rantaian nilai dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Jebasingam berkata, pelaburan dalam ECER bukan terhad kepada kawasan bandar sahaja dan Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) juga menerima komitmen pelaburan di kawasan luar bandar antara lainnya seperti Gua Musang (Kelantan), Besut (Terengganu), Jengka (Pahang) dan Rompin (Mersing, Johor).

Selain syarikat multinasional terkemuka seperti BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd, Kaneka Corporation dan Mercedes Benz, perusahaan kecil dan sederhana tempatan juga antara pelabur ECER. Malaysia-China Kuantan Industrial Park, taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan Malaysia dan China juga yang pertama menerima status Taman Perindustrian Nasional yang menarik pelaburan RM9.7 bilion.

“Kedudukan Zon Ekonomi Khas ECER sebagai pintu masuk pelaburan ke pasaran ASEAN akan diperkukuhkan lagi selepas pengembangan Pelabuhan Kuantan selesai yang ketika ini dibina dan dijangka siap pada 2016,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:32 AM