ZETTY menekankan pentingnya rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh pengantin.
ZETTY menekankan pentingnya rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh pengantin.
 BAKAL pengantin dari Brunei yang tertarik dengan pakej ditawarkan ZSD Wedding Couture.
BAKAL pengantin dari Brunei yang tertarik dengan pakej ditawarkan ZSD Wedding Couture.
SONGKET kembali jadi perhatian khususnya bagi himpunan musim depan.
SONGKET kembali jadi perhatian khususnya bagi himpunan musim depan.
REKAAN busana pengantin ZSD bagi musim 2014/2015 lebih
REKAAN busana pengantin ZSD bagi musim 2014/2015 lebih
Oleh Nor Faizah Mohamed

Rekaan pada asasnya sama. Idea, lakaran, perlaksanaan dan hasilnya. Justeru, tidak kira apa serta bagaimana latar belakang sang pereka, tunjang utamanya adalah daya kreativiti individu terbabit.

Rekaan yang menarik dan cantik digayakan juga tidak memadai jika si pemakai tidak selesa menyarungkannya. Justeru, setiap perbincangan dan maklum balas antara sang pereka bersama si pemakai menjadi keutamaan sebelum satu-satu busana itu dihasilkan.

Bagi pereka busana pengantin, lazimnya apa yang diminta pelanggan perlu diberi perhatian terlebih dulu sebelum memberi input mengenai rekaan mereka.

Kaedah itu antara yang diamalkan pengasas butik pengantin ZSD Wedding Couture (ZSD), Zetty Sakina Dewi Zainodin kerana menyifatkan pelanggan antara sumber ilhamnya kala menghasilkan rekaan baru.

"Sebagai pereka, saya bukan saja perlu hasilkan rekaan yang bercirikan tanda pengenalan ZSD, tetapi ia mesti disesuaikan dengan keinginan pelanggan.

"Setiap pelanggan mempunyai keinginan berbeza, justeru kami cuba bekerjasama dengan memberi ruang serta berkongsi pandangan mengenai tema busana yang mereka impikan.

"Selain kajian menerusi Internet, majalah dan pengalaman bercuti di luar negara, idea yang diketengahkan pelanggan juga banyak membantu saya menghasilkan rekaan yang lebih unik serta menarik," katanya.

ZSD yang dikenali dengan koleksi gaun pengantin moden dan kontemporari ini, bagaimanapun cuba mengelak perincian yang sarat serta lebih tertumpu pada satu bahagian.

Sama seperti fesyen adi busana dan sedia dipakai, pakaian pengantin tidak ketinggalan dihasilkan menepati trend terkini.

Mainan rona, perincian dan pemilihan fabrik banyak mempengaruhi satu-satu rekaan itu dan musim ini menyaksikan ZSD memilih rona semula jadi dan pastel seperti perang latte, champagne, mocha dan krim.

"Musim baru menampilkan pilihan warna yang sederhana dan tidak keterlaluan. Tiada lagi padanan rona terang atau blok warna, tapi lebih kepada pilihan latar semula jadi untuk hasil anggun dan tampak lebih sofistikated.

"Namun jika ada bakal pengantin yang mahukan warna lain, contohnya warna terang, tiada masalah asalkan dapat disesuaikan dengan potongan baju yang menepati bentuk tubuh mereka," katanya.

ZSD juga mula beralih kepada penghasilan gaun kontemporari berbanding helaian dua keping yang popular beberapa musim lalu.

"Kebanyakan pengantin mula memilih helaian yang mudah disarungkan dan padanan gaun disifatkan lebih ringkas serta memberikan penampilan segar. Tapi, ia juga bergantung kepada bentuk tubuh bakal pengantin.

"Pengantin bertubuh comel atau gempal kadangĀ­kala kelihatan janggal dan tidak sesuai menggayakan gaun. Justeru, helaian dua keping lebih padan dengan bentuk tubuh mereka. Begitu juga bagi pengantin bertubuh kurus atau tinggi. Semuanya bergantung kepada kesesuaian tubuh masing-masing," katanya.

Sementara itu, antara rekaan dan fabrik, mana satu perlu diberi perhatian terlebih dulu? Bagi sesetengah pereka, rekaan memainkan peranan utama sebelum memilih fabrik yang ingin digunakan.

Ada pula fabrik jadi keutamaan lalu menghasilkan rekaan untuk diserasikan dengan material itu. Ia sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada kreativiti seseorang pereka.

Bagi pereka berusia 31 tahun ini, kedua-duanya memainkan peranan utama dalam merealisasikan setiap helaian busana.

Tanpa rekaan, fabrik yang dipilih mungkin tidak sesuai dan tanpa fabrik, rekaan yang dilakukan mungkin perlu dirombak semula untuk hasil lebih baik.

"Semuanya bergantung kepada keperluan dan kehendak seseorang pereka. Saya sentiasa hasilkan rekaan terlebih dulu sebelum memilih fabrik.

"Antara fabrik pilihan saya ialah sifon, organza, renda Perancis dan satin duchess yang bukan saja menampilkan siluet feminin tapi tidak menyukarkan pergerakan pengantin," tambahnya.

Untuk hasil lebih mewah, bekas penulis kanan majalah fesyen pengantin popular itu menawarkan pilihan fabrik seperti lycra dan sutera yang dihiasi perincian berkilau atau manik.

Songket juga kembali menjadi perhatian khususnya bagi himpunan musim depan.

"Saya cuba gabungkan antara songket dan sifon dalam satu rekaan bagi mengelakkannya terlalu berat serta sarat. Pilihan songket juga bergantung kepada kehendak dan bajet bakal pengantin.

"Tapi, saya lebih gemar menggunakan songket Terengganu kerana kualitinya manakala songket dari Pakistan kerana harganya yang berpatutan," kata Zetty yang menggunakan sepenuhnya medium laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform utama mengembangkan jenamanya, selain butik yang terletak di Pusat Perniagaan Puchong Permai, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:08 AM