Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Enam perkara utama digariskan bagi terus memacu perkembangan ekonomi negara selain mengambil pendekatan tepat, berhemah dan bijaksana dalam menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah dengan mendadak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejatuhan harga minyak dunia memberi kesan dan implikasi kepada ekonomi dunia malah, Malaysia juga tidak terkecuali.

"Kita perlu mengambil kira kejatuhan ini dan kesannya kepada ekonomi, hasil negara, dasar fiskal dan nilai ringgit. Kita perlu hadapinya dengan pendekatan tepat, berhemah dan bijaksana.

"Esok kerajaan akan umumkan apa pengubahsuaian yang akan dilakukan dan langkah intervensi yang akan diambil supaya senario baharu ini kita hadapi menerusi tindakan lebih proaktif," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini sebentar tadi.

Najib berkata, kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjalan lancar seperti dirancang dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dibentang pada Mei ini dapat memberi keyakinan terhadap harapan negara dan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:02 AM