Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Raja Noraina Raja Rahim


ADAKAH gambar sahaja bukti yang dikumpul polis dalam kes 12 lelaki yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sehingga Jabatan Peguam Negara membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang?

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, persoalan itu bukan saja bermain di fikirannya malah juga pelbagai pihak lain.

Menurutnya, apabila Jabatan Peguam Negara membenarkan pertuduhan dibuat, ia menunjukkan tiada kegagalan dalam pencarian bukti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam kenyataan PDRM sebelum ini memaklumkan bukti mencukupi, malah pihak pendakwaan juga membuat pertuduhan berdasarkan bukti dikemukakan polis.

“Apa yang diragui ialah kenyataan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menyatakan paparan gambar tidak cukup untuk membuktikan seseorang sebagai pengganas dan tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh.

“Ini bermakna bukti gambar dalam telefon bimbit sahaja yang ditemui atau ada bukti lain yang tidak dinyatakan oleh beliau secara jelas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, tindakan Peguam Negara menyatakan jangka masa enam tahun terlalu lama untuk meneruskan prosiding juga dilihat tidak tepat kerana perbuatan jenayah tidak mempunyai tempoh masa tertentu seperti kes sivil.

Malah, katanya, Kementerian Dalam Negeri juga mengekalkan penyenaraian kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Menurutnya, biarpun Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara untuk memula, menerus atau memberhentikan prosiding, namun kuasa budi bicara itu hendaklah dilaksana dengan bijaksana.

“Jika kuasa budi bicara tidak dilaksanakan dengan bijaksana akan mengakibatkan kegagalan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun Shamrahayu berkata, mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Peguam Negara itu boleh memfailkan semakan semula ke atas keputusan berkenaan kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak semula kuasa budi bicara itu.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 3:21 PM