NERFETITI menunjukkan produk MyUri.
NERFETITI menunjukkan produk MyUri.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Bagi segelintir masyarakat Islam, uri atau nama lainnya, plasenta mungkin agak menjijikkan untuk dikendalikan kerana baunya yang tidak menyenangkan.

Disebabkan baunya yang hanyir dan busuk, segelintir ibu bapa menyerahkan bulat-bulat ‘kembar’ si manja mereka kepada pihak hospital untuk diuruskan sedangkan tugas itu sepatutnya dilakukan oleh si bapa.

Lebih mengejutkan, ada juga segelintir ibu bapa yang menguruskan sumber nutrisi, hormon dan oksigen si manja mereka itu berpandukan amalan dan campur aduk tradisi Melayu lapuk yang berunsurkan khurafat.

Memikul tanggungjawab untuk berkongsi amalan tepat menguruskan uri mengikut kaedah Islam, sebuah butik bayi yang beroperasi di Bangi Sentral, Bangi memperkenalkan kit pengurusan uri paling lengkap pertama di Malaysia dikenali sebagai MyUri.

Pengasasnya Nerfetiti Nordin berkata, sejak sekian lama, masyarakat Islam dipengaruhi kaedah pengurusan uri lapuk dan berunsurkan khurafat di mana ada antaranya menanam uri bayi bersama paku; pensil; pemadam pensil; buku; jarum dan duit syiling di mana ia langsung tidak masuk akal dan pelik.

Beliau berkata, segelintir menganggap menanam uri bersama paku supaya tidak mahu bayi menangis dan didekati benda halus, manakala ditanam bersama pensel pula dengan anggapan supaya menjadi anak yang bijaksana.

“Bertitik tolak daripada itu, saya berpendapat sudah tiba masanya satu set lengkap pengurusan uri diperkenalkan sebelum timbul idea memperkenalkan MyUri sebelum ia mula dipasarkan pada awal Mac lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nerfetiti berkata, idea menghasilkan MyUri timbul selepas mendapat permintaan daripada pelanggannya yang mahu satu kaedah paling cekap dan mudah untuk menguruskan uri terutama bagi keperluan ibu bapa muda yang menetap di ibu kota.

Menurutnya, MyUri yang dikeluarkannya berbeza di pasaran kerana ia mengandungi wangian kasturi syifa asli iaitu sebatian wangian yang biasanya digunakan dalam pembuatan minyak wangi di mana ia diperoleh daripada sumber kijang jantan berasal dari Banjaran Himalaya.

“Kami memilih kasturi kijang kerana ia sebaik-baik haruman sebagaimana sabda Nabi SAW selain mampu memberi kekuatan kepada roh dan menghindari gangguan sihir serta mewangikan uri seharum kasturi.

“Selain itu, item biasa yang disediakan serta patuh syarak termasuk garam; asam jawa dan asam keping selain apron; sarung tangan; tuala; kotak; uncang; topeng muka dan nota manual pengendalian uri,” katanya.

Katanya, sejak dipasarkan awal Mac lalu, sudah 1,000 kotak MyUri terjual dalam tempoh dua minggu malah, pihaknya menyasarkan untuk memasarkan 3,000 ke 5,000 kotak sebulan pada masa depan memandangkan sambutan yang semakin menggalakkan.

Nerfetiti berkata, MyUri juga boleh dianggap hadiah bermakna kerana kit itu membantu memudahkan si bapa menguruskan uri dengan mudah dan cepat tanpa mengharapkan ibu bapa dan keluarga mentua.

“Selain itu, kotak yang digunakan pula mesra alam serta mudah reput dan tidak mencemarkan alam sekitar. Selain itu, kami juga menggunakan asam jawa dan asam keping yang diperoleh segar daripada pengusaha,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menerima permintaan daripada masyarakat bukan Islam untuk menggunakan MyUri kerana menyifatkan ia kaedah terbaik untuk menguruskan uri.

“Kami berharap MyUri dapat membantu memudahkan pasangan ibu bapa muda mengendalikan uri bayi masing-masing mengikut kaedah patuh syarak dan dibenarkan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:07 AM