REKAAN aerodinamik yang turut menawarkan keselesaan maksimum.
REKAAN aerodinamik yang turut menawarkan keselesaan maksimum.
TEMPAT duduk belakang yang luas.
TEMPAT duduk belakang yang luas.
PAPAN pemuka teratur dan kemas.
PAPAN pemuka teratur dan kemas.
Oleh Erywan Norshal


Akhirnya, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) mengorak langkah baru dengan menyajikan kenderaan kategori mewah menerusi model premiumnya iaitu Hyundai Genesis.

Kereta sedan mewah yang dipenuhi pelbagai ciri dan teknologi terkini menjadi bukti keupayaan Hyundai dalam menghasilkan kenderaan kategori itu. Direka berdasarkan konsep Fluidic Sculpture 2.0, ia memiliki penampilan yang premium dengan imej korporat.

Ia juga menyalurkan keselesaan yang optimum selain memiliki aspek keselamatan terbaik selepas menempuhi pelbagai ujian pemanduan serta prestasi di beberapa lokasi terkemuka di seluruh dunia. Ruang kabinnya pula menyerlahkan kualiti buatan paling teliti dan mewah dengan direka berpaksi pada ‘Human Machine Interface’ (HMI) untuk pemandu mengetahui suis dan fungsi secara mudah.

Jentera berukuran 4.990 meter (m) panjang dengan jarak roda mencecah 3.010 m, sekali gus menawarkan ruang dalaman yang luas selain memiliki ruang kargo sehingga 433 liter.

Bersesuaian imej mewah, tempat duduk dibaluti kulit premium yang boleh dilaras secara elektronik dengan lapan pelarasan dan fungsi memori. Ia juga dilengkapi sistem audio Lexicon Discrete Logic dengan paparan bersaiz lapan inci serta 14 pembesar suara yang boleh disambung iPOD, USB dan Bluetooth.

Pengalaman memandu sedan itu ditingkatkan lagi menerusi pelbagai ciri pintar seperti CO2 Cabin Sensor yang memantau kualiti persekitaran kabin. Ia dikuasakan enjin V6 GDI bersesaran 3.8 liter berkuasa 315 PS dan tork maksimum setinggi 397 Nm yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Menyentuh aspek keselamatan pula, Genesis dibina menggunakan keluli yang jauh lebih kukuh dengan didatangkan sembilan beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Bantuan Brek (BAS), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Sistem Kawalan Tarikan (TCS).

Ia ditawarkan dengan tiga warna luaran iaitu putih, perak dan hitam, selain tona hitam serta beige untuk ruang dalamannya yang dijual pada harga RM388,921.52 atas jalan termasuk insurans.

Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun berkata, pengenalan Genesis membuktikan keupayaan Hyundai mencipta teknologi inovatif, keselesaan dan pertukangan unggul.

“Model Genesis adalah kereta perdana bagi jenama Hyundai di seluruh dunia dan kami yakin pelancaran Genesis akan meningkatkan lagi nilai jenama Hyundai.

“Ia juga memainkan peranan penting dalam misi meletakkan Hyundai sebagai jenama sedan premium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:02 AM