MOURINHO (kanan) marah dengan tindakan Eva memasuki padang bagi merawat Hazard.
MOURINHO (kanan) marah dengan tindakan Eva memasuki padang bagi merawat Hazard.
AFP

London: Manchester City akan cuba mengeksploitasi kemelut dalaman di Chelsea dan mencetus tamparan awal pada perlumbaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila kedua-dua pasukan bertemu, malam ini.

Minggu Chelsea didominasi dengan perbalahan pengurus Jose Mourinho yang mengkritik doktor pasukan utama Eva Carneiro dan pakar fisioterapi Jon Fearn kerana berlari masuk ke padang untuk merawat Eden Hazard ketika pasukan itu beraksi dengan 10 pemain apabila seri 2-2 dengan Swansea City, hujung minggu lalu.

Dikritik teruk mengenai insiden itu, Mourinho mengesahkan semalam kedua-duanya diturunkan pangkat secara sementara dan tidak akan berada di bangku pemain simpanan di Stadium Etihad.

Perlawanan Swansea sudah menggambarkan permulaan kurang sempurna Chelsea dalam usaha mempertahankan kejuaraan selepas lima perlawanan tanpa kemenangan pada pramusim, dengan pembuangan padang penjaga gol Thibaut Courtois menyebabkan dia tidak boleh beraksi hari ini.

Sebaliknya City membuka tirai kempen dengan kemenangan menakjubkan 3-0 ke atas West Bromwich Albion yang melonjakkan anak buah Manuel Pellegrini ke puncak carta selepas pusingan pertama perlawanan.

Raheem Sterling sudah menyesuaikan diri selepas perpindahan dari Liverpool, Sergio Aguero menghampiri tahap kecergasan terbaik selepas beraksi pada Copa America dan Yaya Toure membuktikan dia sedia melupakan masalah musim lalu dengan dua gol di The Hawthorns.

Sementara perlawanan hari ini menandakan kali pertama penambahan 6,000 tempat duduk di Stadium Etihad selain tambahan 1,500 di tepi padang menjadikan kapasiti meningkat kepada 55,097 – satu lagi tanda impian besar kelab itu.

Kemenangan akan meletakkan City lima mata di depan Chelsea dan sekalipun masih awal, Pellegrini sedar pertembungan hari ini memberi peluang menjejaskan rentak lawan.

“Kami tidak memikirkan mengenai kejuaraan pada perlawanan kedua tapi kami memikirkan mengenai cuba meraih mata di gelanggang sendiri, terutama sekali bermain menentang juara dan satu daripada pasukan yang berpeluang memenangi kejuaraan,” katanya.

“Ia sama seperti Manchester United, Arsenal, Liverpool, Tottenham – semua pasukan besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:07 AM