COURTOIS akan berjuang bersama Conte. FOTO/ AFP
COURTOIS akan berjuang bersama Conte. FOTO/ AFP
Reuters

LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte mendapat sokongan penuh daripada pemainnya bagi membantu jurulatih kelahiran Itali itu tidak menerima nasib sama seperti Jose Mourinho dua tahun lalu, kata penjaga gol, Thibaut Courtois.

Chelsea menamatkan tiga perlawanan tanpa menang selepas menewaskan Watford, hujung minggu lalu tetapi spekulasi mengenai masa depan Conte tetap membelenggu skuad itu dengan laporan media mendakwa beberapa pemain tidak gembira dengan kaedah latihannya.

Courtois membandingkan dengan situasi Mourinho, yang memenangi liga pada 2014-15, namun dipecat selepas persembahan buruk musim berikutnya.

“Kami sedia berjuang untuk jurulatih,” kata Courtois kepada Standard Sport. “Saya masih ingat apa yang berlaku dua tahun lalu di bawah kendalian Jose Mourinho dan banyak perkara mula diperkatakan termasuk cerita di bilik persalinan sedangkan mereka tidak tahu apa yang berlaku.

“Kami gembira dan sedia membuktikan kami sedia berjuang. Kami semua tahu apa yang akan terjadi (perdebatan mengenai masa depan Conte) jika tewas lagi berdepan Watford.”

Courtois, 25, menafikan laporan mengenai pergolakan pemain terhadap kaedah latihan pengurus itu.

“Setiap pengurus mempunyai cara mereka sendiri. Antonio banyak melakukan sesi taktikal dan latihan. Kami tiada masalah dengan perkara itu,” ujar pemain Belgium itu.

“Musim lalu kami muncul juara dengan cara Conte dan bekerja lebih keras daripada musim ini, jadi saya tidak pasti kenapa perlu ada pemain mengadu. Ia tidak terjadi sekiranya kami tidak suka dengan latihan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 10:50 PM