AFP

Paris: Pengurus Chelsea Jose Mourinho mengaku pasukannya bernasib baik melakar keputusan seri pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara, menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi semalam, selain turut menghambur pujian buat penjaga golnya Thibaut Courtois.

PSG mendominasi perlawanan, tetapi hanya meledak jaringan pada babak kedua menerusi Edinson Cavani sambil Courtois mempamerkan aksi membanggakan apabila menyelamatkan sekurang-kurangnya enam percubaan lawan sekali gus membolehkan Chelsea seri 1-1 pada aksi berlangsung di ibu negara Perancis itu.

Bagaimanapun, jaringan berharga Branislav Ivanovic pada babak pertama yang terhasil menerusi satu-satunya peluang dicipta Chelsea, memberikan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kelebihan menjelang aksi kedua di Stamford Bridge, 11 Mac nanti.

“Saya rasa babak pertama milik kami. PSG memberikan kami banyak ruang dan mereka hanya bertahan. Mereka tidak menekan, membuatkan kami berasa cukup selesa untuk bergerak dengan bola selain tidak bermasalah menguasai perlawanan,” kata Mourinho.

“Tapi, babak kedua sangat berbeza. Mereka mula bergerak dan perlawanan menjadi milik tuan rumah. Saya rasa keputusan 1-1 itu menggambarkan satu babak menjadi milik kami manakala satu lagi Paris, tapi jika anda bercakap mengenai peluang serta prestasi penjaga gol, kami perlu bersikap jujur kerana mereka lebih baik berbanding kami. Justeru, kalau ada pasukan yang hampir menang, ia adalah PSG dan bukannya Chelsea.

“Kelebihan yang kami ada agak tipis. Kini semuanya bakal ditentukan di Stamford Bridge dan bukan lagi menerusi dua perlawanan. Mereka pasukan yang hebat manakala kami pula agak bernasib baik.”

Courtois kembali disenaraikan dalam pasukan Chelsea bagi menggantikan Petr Cech dan dia membuktikan mengapa namanya perlu diletakkan dalam barisan penjaga gol terbaik dunia menerusi beberapa aksi hebat ketika menyelamatkan percubaan pemain tuan rumah terutama daripada Zlatan Ibrahimovic pada masa kecederaan.

“Jika bola sepak membolehkan saya menurunkan sembilan pemain serta dua penjaga gol, kami pasti menurunkan kedua-duanya. Ini kerana mereka masing-masing memang hebat,” kata Mourinho mengenai Courtois dan Cech sebelum memuji kemampuan Ivanovic menjaringkan gol dalam keadaan kritikal.

“Iva sering muncul wira perlawanan besar. Dia seolah-olah mampu memilih waktu tepat untuk menjaringkan gol. Dia meledak gol kemenangan ketika menentang Liverpool (di separuh akhir Piala Liga), di sini, di final Liga Europa (menentang Benfica pada 2013). Dia tampil tepat pada waktunya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:11 AM