PEGAWAI KPDNKK negeri memeriksa DVD cetak rompak yang dirampas. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
PEGAWAI KPDNKK negeri memeriksa DVD cetak rompak yang dirampas. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas lebih 7,000 unit cakera padat digital (DVD) cetak rompak pelbagai tajuk bernilai RM37,000 dalam serbuan di rumah kedai di Lebuh Naning di sini, 3.30 petang tadi.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Jamal Nor Ahmad Harun berkata, selain tidak mempunyai papan tanda, pintu depan premis itu berkunci sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, selepas intipan seminggu, pihaknya terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

"Hasilnya kami merampas 7,326 DVD cetak rompak pelbagai tajuk termasuk filem dan drama berbahasa Cina, Korea, Jepun, Inggeris dan tempatan yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM37,000.

"Tiada suspek ditemui di dalam premis berkenaan kerana kami percaya premis berkenaan hanya beroperasi pada waktu tertentu untuk proses pengedaran dan pembungkusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:54 PM