BILIK kebal khas yang dibina untuk menyimpan DVD cetak rompak.
BILIK kebal khas yang dibina untuk menyimpan DVD cetak rompak.
Fardy Bungga

BINA bilik ‘kebal’ di sebalik dinding premis yang dijadikan stor rahsia menyimpan ribuan keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak.

Lebih mengejutkan apabila bilik rahsia di sebuah premis di Dataran Mentari, Petaling Jaya itu hanya boleh dimasuki menggunakan pintu khas yang kelihatan seperti dinding biasa.

Pemilik premis sebaliknya hanya mempamerkan DVD yang sah dijual di luar premis untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik sindiket yang menjual DVD cetak rompak itu terbongkar apabila sepasukan anggota Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya menyerbu premis itu jam 5 petang semalam.

Hasil serbuan itu sebanyak 2,191 DVD cetak rompak berjaya dirampas dari premis berkenaan membabitkan nilai lebih RM16,800.

Ketua Operasi KDN Omar Mohd Bahari berkata, pihaknya berjaya merampas semua salinan filem pelbagai tajuk dalam bentuk DVD yang tidak mempunyai perakuan ‘B’.

Katanya, seorang lelaki berusia 40-an yang berada di dalam premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Semua DVD dirampas itu dikesan disembunyikan di dalam stor khas di sebalik dinding premis dengan kedudukan pintu tersembunyi dan sukar dikesan.

“Rampasan dilakukan mengikut Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 5:09 AM