IBU Romie menyarungkan cincin ke jari manis Hanez.
IBU Romie menyarungkan cincin ke jari manis Hanez.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Selang dua minggu selepas pelakon Hanez Suraya, 29, memberi kenyataan dia memutuskan hubungan dengan Romie Razin Adilha, 34, peminat dikejutkan dengan berita pertunangan mereka.

Perkara itu sedikit sebanyak membuatkan ramai menuding jari kepadanya serta melabelnya sebagai pembohong dan cuba mempermain-mainkan peminat.

Ada yang menganggap ke­nyataan Hanez itu satu usaha untuk membolehkan dia dipanggil berlakon selepas mula diboikot peminat, menyebabkan stesen televisyen tidak mahu mengambilnya berlakon untuk menjaga rating.

Tidak mahu perkara itu menjadi isu, Hanez tampil menjelaskan kedudukan sebenar. Bagi­nya, dengan majlis pertunangan yang berlangsung 3 Januari lalu, bermakna kontroversi yang sering dikaitkan dengan dirinya berakhir.

Tambah pula majlis pertunangan dibuat pada hari sambutan Maulidur Rasul. Hanez mengharapkan keputusan diambil mendapat keberkatan memandangkan ia turut mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.

Katanya, orang tidak tahu apa dilaluinya sepanjang timbul kontroversi antara dia dan Romie apabila Romie mendiamkan diri, menyebabkan dia hilang arah.

"Ketika itu hubungan kami tiada ketentuan dan ia pernah beberapa kali berlaku, menyebabkan saya membuat keputusan tidak mahu meneruskan hubungan dengannya. Saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

"Apabila selesai kes penceraian Romie bekas isteri, dia cuba kembali kepada saya dan meyakinkan saya mengenai arah tuju hubungan kami.

"Romie meluahkan hati dan perasaannya pada saya tetapi selepas apa yang dilalui, susah untuk saya terima. Dia kemudian berusaha memenangi hati ibu dan ayah saya pula serta menyatakan hasrat menikahi saya," katanya.

Kata Hanez, apabila ibu bapa­nya memberi restu dan turut mendesak, malah perbincangan antara kedua-dua keluarga dilakukan, dia reda dan menganggap ini perjalanan jodohnya yang ditentukan.

"Sebaik kedua-dua keluarga bersetuju, persiapan mengadakan majlis pertunangan dibuat dalam tempoh empat hari saja. Ikutkan, Romie mahu kami terus bernikah tetapi saya tidak bersetuju.

"Saya tegaskan kepadanya supaya mengikut adat. Lagipun selepas apa yang berlaku, saya memerlukan masa dan tempoh pertunangan selama enam bulan sebagai ruang untuk dia dan saya memperbaiki apa yang sepatut­nya sebelum bergelar suami isteri," katanya.

Mengenai kemungkinan dia meninggalkan dunia lakonan memandangkan sebelum ini sewaktu bercinta dulu Romie pernah berkata, apabila berkahwin nanti, pelakon kelahiran Subang, Selangor dan kini menetap di Se­remban, Negeri Sembilan itu harus meninggalkan bidang lakonan, kata Hanez, perkara itu tidak akan berlaku.

"Apabila dia datang meminang, saya beri beberapa syarat kepada Romie. Pertama, jika dia mahu kami bernikah, dia harus membenarkan saya terus berlakon kerana ia menjadi minat saya sejak dulu. Perkara itu tidak menjadi masalah kepada Romie. Katanya, dia mulai faham kerja saya.

"Kedua, saya tegaskan kepadanya jika timbul lagi perkara dan kontroversi yang boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai pelakon yang datang dari Romie, dia harus tampil dan berdepan situasi itu.

"Romie berjanji selepas ini andai apa juga perkara berlaku, dia akan bersuara dan tidak akan membiarkan saya terkapai-kapai seorang diri.

"Janji diberi membuatkan hati saya kuat untuk menerimanya kembali dan setuju bernikah dengannya selepas ini," katanya.

Kata Hanez, walaupun ditetapkan tempoh pertunangan selama enam bulan, tarikh perkahwinan mereka bergantung kepada jadual kerjanya.

"Alhamdulillah, sekarang rezeki saya semakin murah dan banyak tawaran datang. Disebabkan itu saya akan kembali sibuk di lokasi penggambaran selepas ini. Saya kena susun jadual betul-betul.

"Kedua-dua keluarga menetapkan majlis pernikahan dilakukan selepas enam bulan, tetapi kami tidak meletakkan tarikh tetap. Segala-galanya bergantung kepada persiapan.

"Hendak diikutkan, enam bulan itu tempoh pendek untuk membuat persiapan. Begitupun, saya mengharapkan apa dirancang berjalan lancar," katanya.

Romie dan bekas isterinya Nur Liyana Manan, 29, sah bercerai pada 9 Disember tahun lalu di Mahkamah Syariah. Majlis pertunangan Hanez dan Romie berlangsung selepas Isyak di kediaman keluarga Hanez di Seremban, Negeri Sembilan pada 3 Januari lalu.

Hanez anggun dengan busana putih dan turut dihadiri Romie dan anak serta kalangan ahli keluarga saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM