HANEZ bersama anak dan suami.
HANEZ bersama anak dan suami.
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Hanez Suraya, 32, akur apabila suaminya yang juga ahli perniagaan, Romie Razin tidak mengizinkannya kembali ke dunia lakonan.

Hanez yang kali terakhir berlakon dalam drama Love You Mr Arrogant empat tahun lalu bagaimanapun cuba memujuk dengan harapan suami mengubah fikiran tapi dia tetap dengan pendirian itu.

“Tak ada apa yang perlu dikesalkan. Tipulah kalau saya kata tak rindu nak berlakon semula, tapi sebagai isteri, perlu patuh kepada suami. Mungkin ada sebab suami berbuat sedemikian, apatah lagi dalam dunia lakonan macam-macam boleh terjadi.

“Walaupun tak berlakon, tapi dia mengizinkan saya untuk menjalankan perniagaan. Dia membuka peluang itu kepada saya. Alhamdulillah sekarang sudah tiga bulan saya mengusahakan tudung yang dijual secara ‘online’,” katanya.

Hanez berkata, pada mulanya dia kurang yakin untuk memulakan perniagaan itu kerana bimbang mendapat maklum balas buruk daripada pengguna.

Semuanya gara-gara Hanez teruk dihentam dan dikritik peminat dua tahun lalu apabila dia didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga Romie bersama isteri terdahulu.

“Saya berfikir banyak kali untuk menggunakan nama sendiri sebagai jenama tudung. Jadi buat sementara waktu saya menggunakan nama lain. Insya-Allah untuk koleksi terbaru nanti saya menggunakan nama sendiri secara rasmi. Sebagai permulaan saya nak melihat sejauh mana pasaran dan sambutan.

“Suami selalu menasihatkan saya supaya jangan takut. Namun, saya sendiri kurang yakin disebabkan perkara yang berlaku sebelum ini. Ketika itu terlalu banyak yang negatif, tetapi apabila banyak rakan mengetahui perniagaan ini, mereka memberikan sokongan baik.

“Dari situ saya menjadi lebih kuat dan bersemangat. Sehinggakan apabila perniagaan ini berjalan suami terkejut. Dia menyangka saya memang tak nak buat,” katanya.

Menurut Hanez, perniagaan yang dijalankan itu bermodalkan wangnya sendiri, malah Hanez menjalankan sendiri aktiviti promosi dan jualan tudung itu.

Hanez turut memaklumkan dia melakukan sendiri perkhidmatan penghantaran secara tunai kepada pelanggan.

Urus rumah tangga

Hanez yang berkahwin pada 25 Mac 2015 mengakui semakin bahagia bersama suami dan anak sulung mereka, Puteri Aleesya yang kini berusia setahun dua bulan.

“Sejak tak berlakon, masa saya memang banyak dihabiskan bersama keluarga. Kalau dulu saya memang menguruskan sendiri rumah tangga tanpa pembantu rumah.

“Bagaimanapun, sejak anak berumur tujuh bulan, baru saya berani menggunakan khidmat pembantu rumah. Apabila dia sudah besar sedikit, saya pun boleh keluar berjalan, tapi tak pernah lagi tinggalkan anak lebih sehari,” katanya.

Perkara itu sekali gus menafikan khabar angin yang mengatakan rumah tangga Hanez dan suami bermasalah.

“Saya pun pelik macam mana cerita itu boleh timbul. Apatah lagi terlalu banyak cerita yang ditokok tambah. Ketika cerita itu tersebar saya dan suami okey saja, tapi apabila pelbagai spekulasi timbul membuatkan perkara itu menjadi rumit.

“Suami saya tidak terbabit dalam dunia hiburan, jadi dia seorang yang mudah terpengaruh dengan cerita yang disampaikan. Disebabkan itu saya perlu menjelaskannya satu persatu sehingga dia faham. Paling penting saya meminta dia tak mudah percaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:04 AM