HANEZ nafi kunjungan ke London, Paris untuk sesi fotografi praperkahwinan.
HANEZ nafi kunjungan ke London, Paris untuk sesi fotografi praperkahwinan.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Kota London dan Paris kini menjadi pilihan artis tanah air membeli barang untuk persiapan perkahwinan. Pelakon Hanez Suraya dan pasangannya, ahli perniagaan Romie Razin Adilha Abdul Jais juga memilih dua kota popular di Eropah itu untuk destinasi percutian sebulan sebelum hari bahagia mereka.

Bagaimanapun, Hanez atau Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, menafikan mereka ke sana untuk sesi fotografi pra perkahwinan sebagaimana selebriti lain sebelum ini.

Kata Hanez, percutiannya di dua kota besar itu juga sebagai memenuhi impiannya untuk menjelajah beberapa destinati popular di Eropah.

“Sebenarnya, perancangan melawat dua kota fesyen itu dibuat lama sebelum majlis pertunangan saya lagi dan ikut perancangan, ia hanya membabitkan rakan perempuan.

“Memandangkan saya sudah bertunang dan akan berkahwin, perancangan ke London dan Paris menjadi peluang terbaik untuk mencari barang hantaran perkahwinan.

“Sebab itu juga, Romie turut serta mengikuti rombongan kami bagi memudahkan pembelian barang mengikut saiz masing-masing.

“Apabila Romie ikut sama, perancangan asalnya hanya membabitkan rakan perempuan berubah. Rakan saya turut mengajak suaminya bersama dan rombongan kami menjadi besar seramai lapan orang.

“Kehadiran suami rakan membuatkan percutian menjadi lebih mudah kerana ketika orang perempuan membeli-belah, orang lelaki boleh berkumpul sambil minum kopi. Kami juga tidak mengambil gambar praperkahwinan di London dan Paris,” katanya.

Mengenai pantang larang orang Melayu menganggap pasangan bertunang berdarah manis dan tidak dibenarkan berjalan jauh bimbang berlaku perkara tidak diingini dan menyebabkan hajat berumah tangga tidak kesampaian, Hanez berkata, keputusan Romie untuk ikut serta dibuat pada saat akhir.

“Bukan hendak melanggar pantang yang melarang pasangan bertunang berjalan jauh, tapi perkara itu terpaksa dilakukan kerana perancangan dibuat sejak tahun lalu.

“Saya sudah berjanji dengan rakan lain, manakala tiket dan penginapan ditempah lebih awal. Hendak diikutkan, keluarga memang tidak benarkan, tetapi apabila Romie turut serta dalam rombongan ini dan rakan suami juga ada bersama, kerisauan itu berkurang,” katanya.

Kata Hanez, kebanyakan barang hantaran dibeli di Paris manakala di London mereka hanya berjalan-jalan. Tambah pula Romie tidak pernah sampai ke London.

“Ramai juga bertanya mengapa membeli barang hantaran sampai ke Paris dan London. Mereka yang tidak pernah ke sana mungkin tidak tahu, kebanyakan barangan import dijual di sini jauh lebih mahal berbanding di Eropah.

“Saya sendiri tidaklah berhabis sangat mengenai bara­ngan hantaran. Ia membabitkan persalinan yang memang kami guna seperti beg, kasut dan pewangi.

“Ada jenama luar yang kami gunakan memang dijual sangat murah. Alang-alang bercuti ke sana, lebih baik kami terus membeli apa yang kami mahukan untuk majlis pernikahan dan perkahwinan kami,” katanya.

Hanez dan Romie bakal melangsungkan pernikahan pada 14 Mac ini di Masjid Putrajaya, manakala majlis persandingan diadakan pada sebelah malam di rumah keluarga Hanez di Seremban, Negeri Sembilan. Acara sambut menantu pula akan dilangsungkan pada 22 Mac di sebuah dewan terkemuka di Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai persiapan majlis pernikahan berbaki seminggu ini, kata Hanez, disebabkan dia bercuti di Paris dan London, kerja-kerja mengundang tetamu juga tertangguh. Dia dan Romie kini sibuk dengan urusan menghantar undangan kepada tetamu.

“Persiapan lain sudah siap sepenuhnya sehingga menantikan majlis berlangsung. Saya secara peribadi tidak berharap majlis diadakan itu nanti terlalu besar dan hebat. Pada saya, asal segala-galanya lancar sudah memadai.

“Paling penting bagi saya, makanan yang akan dijamu pada tetamu. Saya mahu nanti tetamu berpuas hati dengan hidangan disediakan seperti mana majlis pertunangan kami dulu apabila ramai memuji masak lemak daging salai.

“Saya mahu bukan saja kami pasangan pengantin gembira, tetapi tetamu juga dapat berkongsi kegembiraan kami nanti,” katanya.

Pasangan kontroversi ini bertunang 3 Januari lalu dan mengikut perancangan mahu melangsungkan perkahwinan enam bulan selepas itu, tetapi kini tarikhnya dipercepatkan. Ini perkahwinan kedua Romie dan hasil perkahwinan sebelum ini mempunyai dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:03 AM