PELBAGAI lukisan gigi hasil inspirasi pertemuan dengan doktor gigi.
PELBAGAI lukisan gigi hasil inspirasi pertemuan dengan doktor gigi.
Siti Salmiah A Hamid


Barisan gigi kelihatan benar-benar hidup tatkala penulis melalui sebahagian lukisan di pameran ‘Small Works’ yang kini berlangsung di Segaris Art Center, Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur.

Pelukisnya, Hamir Soib, 48, cukup dikenali dengan karya bersaiz besar, yang dari jauh pun boleh jelas kelihatan. Tapi kali ini sentuhan seni beliau menghasilkan kelainan.

Apa tidaknya, lebih 150 karya bersaiz ‘comel’ dan sederhana yang dihasilkan sejak 2005 hingga 2017 dipamerkan untuk tatapan peminat malah sebahagian karya itu koleksi individu dan syarikat yang ‘sporting’ untuk turut serta dalam pameran ini.

“Gambar gigi itu dikutip daripada pengalaman saya ketika berjumpa doktor gigi dan ia ibarat trofi apabila saya berjaya mengatasi ketakutan untuk berjumpa doktor.

“Setiap kerosakan gigi adalah berlainan, hasilnya saya pindahkan ia dari bentuk literal ke dimensi lukisan agar masyarakat dapat memahami kesakitan gigi yang dialami dan punca kesakitan,” katanya.

Gucci, Prada, Fendi, Tods antara jenama beg tangan yang sentiasa menjadi tarikan wanita untuk memilikinya.

Namun, Hamir bukanlah ghairah untuk mengajak masyarakat membeli-belah jenama berkenaan tapi beliau memperlihatkan sisi wanita yang sanggup mendapatkan beg jenama tiruan hanya untuk memiliki status sama dengan produk asli.

Hamir turut menghasilkan karya seperti Terima Kasih, ‘One Pain’ dan ‘The Wasteland’ yang dilukisnya ketika di Hospital Muar, Johor ketika menemani ibu tercinta.

“Ada makna dalam karya itu yang mengingatkan saya kasih sayang dan pengorbanan insan bergelar ibu,” katanya yang sudah terbabit lebih 30 tahun dalam dunia seni.

Orang ramai berpeluang memiliki karya solo Hamir keempat yang dizahirkan menerusi medium bitumen dan akrilik di atas kanvas sehingga 19 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:21 PM