PELAWAT melihat karya seni di pameran anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PELAWAT melihat karya seni di pameran anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 173 lukisan dipamerkan di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar, hari ini.

Pameran anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) itu bermula hari ini sehingga 14 Mac.

Galeri Prima akan dibuka 10 pagi sehingga 6 petang setiap hari.

Antara karya menarik perhatian adalah Ruang Biru hasil lukisan Datuk Syed Ahmad Jamal, Little Things (Datuk Ibrahim Hussein, Rimba Series (Abdul Latiff Mohidin), Siri Tari (Yusof Ghani), Chord of Friendship (Chang Fee Ming), Red Legong (Ahmad Zakii Anwar) dan Tenaga Hidup I (Awang Damit Ahmad).

Hasil seni batik turut dipamerkan di Galeri Prima yang menampilkan karya Datuk Chuah Thean Teng, Khalil Ibrahim, Fatimah Chik dan Ismail Mat Hussin.

Selain itu, lukisan gabungan timur dan barat juga dihimpunkan hasil karya Yong Mun Sen, Chia Yu Chian, Khaw Sia dan Tew Nai Tong.

Seni kontemporari yang dihasilkan Zulkifli Yusoff, Ahmad Fuad Osman, Hamir Soib, Bayu Utomo Radjikin, Masnoor Ramli Mahmud, Ahmad Shukri, Jalaini Abu Hassan, Chong Siew Ying, Kow Leong Kiang, Roslisham Ismail, Samsudin Wahab, Chong Ai Lei, Yeoh Choo Kuan, Hasanul Isyraf Idris turut dipamerkan pada pameran berkenaan.

Pengarah HBAA, Sim Polenn berkata, ini adalah waktu terbaik untuk membeli hasil seni.

“Jika ada pelaburan jangka panjang ia adalah bonus. Hargai seni,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Henry Butcher akan mengadakan lelongan lukisan itu pada 15 Mac bermula 1 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 9:56 PM