Khemah milik peniaga patah dan rosak selepas sebuah van merempuh beberapa gerai dan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan manakala dua wanita parah di tapak pasar malam Golden Hill, Sungai Ruil Cameron Highlands, kelmarin. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Khemah milik peniaga patah dan rosak selepas sebuah van merempuh beberapa gerai dan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan manakala dua wanita parah di tapak pasar malam Golden Hill, Sungai Ruil Cameron Highlands, kelmarin. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Mohd Hafizee Mohd Arop


Cameron Highlands: Seorang lagi mangsa rempuhan van di Tapak Pasar Malam Golden Hill di Brinchang, di sini, kelmarin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Pahat, hari ini.

Mangsa Tan Siew Lee, 52, yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dipindahkan ke hospital berkenaan oleh keluarganya sebelum disahkan meninggal dunia pada 8.43 pagi.

Dalam kejadian 9.45 malam itu, budak perempuan berusia empat tahun Adra Mustaffa Kamal beralamat di Mersing, Johor, meninggal dunia manakala Siew Lee dan Kho Liang Jing, 23, parah.

Mereka dirempuh sebuah van dipandu seorang peniaga yang dipercayai menekal pedal minyak dengan kuat supaya pelanggan memberikan laluan kepadanya sebelum van berkenaan meluru laju dan turut merempuh gerai di pasar malam terbabit.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat Siew Lee mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan.

"Seorang lagi mangsa (Liang Jing) patah kaki dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di HRPB.

"Suspek seorang lelaki berusia 30 tahun kini direman sehingga Khamis ini dan ujian air kencing dijalankan terhadap suspek negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:38 PM