GERRARD tegas mengenai karier di Galaxy selepas tinggalkan Anfield.
GERRARD tegas mengenai karier di Galaxy selepas tinggalkan Anfield.

Steven Gerrard (gambar) memaklumkan kepada LA Galaxy bahawa dia tidak datang ke Amerika Syarikat hanya untuk memanaskan bangku simpanan apabila memilih meninggalkan Liverpool dan berhijrah ke Major League Soccer (MLS) musim panas ini.

Galaxy memaklumkan Gerrard sudah menandatangani kontrak semalam selepas menolak lanjutan kontrak dan memilih meninggalkan Liverpool selepas 17 tahun.

Gerrard mengakui bahawa dia akan menandatangani perjanjian baru jika ditawarkan kepadanya awal musim ini dan bekas rakan pasukan di Anfield Danny Murphy berkata, layanan kelab kepada kapten mereka itu sebagai satu tindakan 'bodoh'.

Namun pemain tengah berusia 34 tahun itu sudah mempunyai perancangan masa depan dan menegaskan dia akan menyertai juara lima kali MLS untuk membantu mereka memenangi lebih banyak trofi daripada memilih untuk berjemur di California.

"Bola sepak adalah kehidupan saya dan akan terus beraksi untuk tempoh beberapa tahun lagi," kata Ger­rard.

"Saya tidak pergi ke sana untuk bercuti atau berseronok. Saya ke sana untuk menang dan jika saya menang dan bermain dengan baik, hidup saya akan menjadi lebih menyeronokkan.

"Saya masih lagi seorang pemain. Saya masih lagi rasa boleh bermain untuk beberapa tahun lagi, jadi saya mahu bersama kelab dengan mentaliti kemenangan. Bersama pasukan yang terus mengejar kemenangan dan juga pasukan mempunyai barisan pemain yang mahukan kemenangan pada masa depan.

"Saya sudah bercakap dengan pe­ngurus Bruce Arena dan juga pegawai atasan dan mereka sangat agresif dan mahukan kejayaan.

"Itulah cara saya inginkan iaitu bagaimana saya mahu menamatkan kerjaya saya, jadi mereka adalah sebab saya memilih LA Galaxy.

"Mereka bersungguh-sung­guh memujuk saya. Mereka secara dasarnya memberitahu apa yang saya mahu dengar. Saya harap saya dapat ke sana, memainkan peranan dan menyumbang untuk menjulang lebih banyak trofi kemenangan kepada pasukan itu."

Gerrard mengakui kehidupan mewah di Los Angeles memainkan peranan besar apabila membuat pilihan tepat buat isterinya Alex dan tiga anak perempuannya selepas sekian lama di Merseyside.

"Jelas sekali lokasi terletaknya LA Galaxy adalah satu bonus," katanya.

"Ia pasti satu lokasi menarik untuk keluarga saya keluar daripada kehidupan selesa dan mencuba sesuatu berbeza.

"Satu cabaran besar untuk cuba menyesuaikan diri dengan banyak perkara. Saya tinggal di Liverpool sepanjang hidup saya. Saya sukakan bandar saya. Saya sukakan kehidupan lama saya. Tapi hidup hanya sekali. Adalah penting untuk mencuba sesuatu yang berbeza dan juga penting memberi anak saya pe­ngalaman. Jadi saya berharap keputusan untuk berhijrah dapat membantu mereka berkembang sebagai seorang manusia juga."

Gerrard juga memberi harapan kepada peminat yang mengikuti perkembangan perpindahannya apabila berkata, dia akan kembali ke Anfield pada masa depan.

Katanya: "Pesanan saya kepada peminat Liverpool, saya banyak terhutang budi kepada mereka. Saya berjanji kepada mereka saya akan memberikan segala-galanya untuk cuba membawa seberapa banyak kejayaan musim ini dan berharap akan kembali semula.

"Itulah mesejnya. Hubu­ngan saya dengan Liverpool tidak akan berakhir musim panas ini. Malah ia tidak akan berakhir."

Bagaimanapun Murphy percaya Liverpool dan pengurus Brendan Rodgers perlu berusaha lebih keras untuk terus mengekalkan Gerrard dan menghalang dia daripada pergi.

"Liverpool menanti sehing­ga November atau Disember sebelum mereka membuat tawaran kepada­nya," kata Murphy.

"Kelab dan Brendan sudahpun memikirkan me­ngenai perpindahannya. Bagi saya ia satu yang bodoh kerana mereka melayan pemain dengan cara begitu. Kami melihat perkara sama di Chelsea dengan Frank Lampard. Kelab berkata, "Kami menawarkan kontrak baru kepadanya," tapi pastinya ada pengurangan gaji.

"Itu bukan cara terbaik anda melayan seseorang yang memberi segala-galanya kepada kelab."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:01 AM