GERRARD (kanan) jaring gol penyamaan Liverpool ketika menentang Chelsea.
GERRARD (kanan) jaring gol penyamaan Liverpool ketika menentang Chelsea.
AFP

London: Kapten Liverpool, Steven Gerrard (gambar) berharap kelab itu dapat menumpukan perhatian terhadap masa depan selepas impian untuk ke Liga Juara-Juara hampir lebur gara-gara seri 1-1 ketika menentang Chelsea, kelmarin.

Gerrard menanduk masuk gol penyamaan selepas bekas rakan sepasukannya di England, John Terry membuka jaringan pada minit kelima di Stamford Bridge tetapi keputusan itu mengakibatkan Liverpool ketinggalan enam mata berbanding empat pasukan teratas Liga Perdana dengan baki dua perlawanan musim ini.

Gerrard, 34, akan meninggalkan Anfield untuk menyertai Los Angeles Galaxy hujung musim ini tetapi berkata, walaupun skuad kendalian Brendan Rodgers itu dilihat gagal, masih banyak perkara boleh diperbaiki.

“Saya rasa, kini pasukan perlu menyiapkan diri untuk tahun depan,” katanya.

“Kami hanya mahu bercakap mengenai persembahan hari ini (kelmarin). Kami tidak bernasib baik untuk menang perlawanan itu tapi sudah membuktikan dengan beberapa peningkatan, kami pasti mampu bersaing musim depan.

“Kami sedikit ketinggalan musim ini. Saya rasa penting untuk memberi sedikit ruang serta rehat buat pemain sementara pemilik kelab perlu membantu Brendan.

“Ada ramai pemain bagus di sini. Liga ini bertambah sukar setiap tahun. Kami kehilangan (Luis) Suarez (ke Barcelona), kami tidak dapat menggunakan khidmat Daniel Sturridge (akibat kecederaan). Ia memang sukar.”

Liverpool memberikan penghormatan kepada juara baru, Chelsea sebelum sepak mula dan Gerrard yang dua kali hampir menyertai kelab barat London itu berkata, ia saat yang amat tidak selesa baginya.

“Ia bukan suasana yang kami suka tapi Chelsea adalah pemenang liga yang sah,” katanya. “Mereka berhak untuk diraikan tapi kami tidak begitu selesa untuk turut sama meraikannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:22 AM