BARISAN pemain Liverpool sedang menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain Liverpool sedang menjalani latihan. FOTO AFP
Agensi

London: Ketika ramai memperkatakan mengenai aksi final Liga Juara-Juara awal pagi esok antara Liverpool dan Real Madrid, bekas bintang Reds yakin pasukan lamanya itu akan melakar kemenangan.

Steven Gerrard dengan yakin meramalkan skuad bimbingan Jurgen Klopp akan menewaskan Los Blancos 2-0 di Paris menerusi satu mesej video yang dimuat naik di akaun Twitter rasmi kelab itu.

Gerrard yang menjulang trofi berprestij itu bersama Liverpool pada 2005, melakukan rakaman itu di Stade Perancis di mana dia hadir untuk sesi latihan terakhir Liverpool sebelum aksi final.

"Anda boleh merasakan suasana yang hebat. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain Liverpool. Saya harap mereka mendapat keputusan yang dimahukan oleh semua orang.

"Saya semakin teruja untuk menyaksikan perlawanan final ini dan penyokong mula mencetuskan kemeriahan di luar stadium," katanya.

Gerrard yang kini membimbing Aston Villa kemudian meramalkan Liverpool akan menewaskan Real.

"Semoga ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan saya meramalkan kemenangan 2-0 berpihak kepada Liverpool," kata Gerrard.

Bagaimanapun Real Madrid di bawah bimbingan Carlo Ancelotti cukup cemerlang apabila berjaya menewaskan beberapa pasukan gergasi dalam laluan ke final termasuk Paris Saint Germain (PSG), Chelsea dan Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 7:48 PM