STEVEN GERRARD
STEVEN GERRARD
Reuters

LONDON: Rangers FC mensasarkan untuk mendapatkan beberapa lagi pemain dalam usaha membina skuad yang kuat dan seimbang serta mampu mencabar kejuaraan di pentas domestik selain Eropah, kata pengurusnya Steven Gerrard.

Kelab dari Scotland itu sudah menandatangani sembilan pemain baharu antaranya pertahanan Connor Goldson dan pemain sayap, Jamie Murphy dari kelab Liga Perdana Inggeris, BrightonHove & Albion, pertahanan Liverpool, Jon Flanagan serta pemain tengah, Scott Arfield dari Burnley.

Skuad Gerrard juga dikuatkan dengan penyerang AS Roma, Umar Sadiq dan pemain tengah, Ovie Ejaira dan Lassana Coulibaly menerusi pinjaman selama semusim.

“Tiada sebarang angka untuk itu,” kata Gerrard. “Kami akan berada di sana apabila kami ada di sana.

“Apabila saya melihat pasukan dan skuad sudah cukup kuat untuk bersaing dengan pasukan terbaik secara domestik dan juga pasukan-pasukan yang akan kami temui di Liga Europa, ketika itu kami bersedia.

“Pemain-pemain yang baik berada di nada yang sama dan mereka sentiasa pantas menyesuaikan diri dan itulah yang kami cuba lakukan ketika perpindahan pemain, mencari pemain yang bagus, berbakat.

“Kami cuba untuk mendapatkan keseimbangan dan acuan yang betul.”

Gerrard yang juga bekas pemain tengah Liverpool membuat penampilan sulung dalam arena pengurusan ketika pasukannya menentang kelab divisyen empat Inggeris, Bury F.C. dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Bekas pemain antarabangsa England berusia 38 itu akan mengemudi Rangers pada aksi kompetitif pertama apabila pasukannya menentang kelab Macedonia, FK Shkupi pada aksi penyingkiran pertama Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 2:37 PM