ANTARA ahli keluarga mangsa yang berada di perkarangan Hospital Beaufort. Gambar kecil, Norisham Purah. FOTO NSTP
ANTARA ahli keluarga mangsa yang berada di perkarangan Hospital Beaufort. Gambar kecil, Norisham Purah. FOTO NSTP
Norasikin Daineh


Beaufort: Seorang bapa reda melepaskan pemergian anaknya Danial Norman,16, antara tiga mangsa lemas di Lake Eco Resort, Membakut.

Menurut Norisham Purah, 51, dia berat hati membenarkan anaknya menyertai perkhemahan itu namun terpaksa melepaskannya sebelum dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.

"Saya reda dengan pemergiannya walaupun berat hati saya mahu melepaskannya mengikuti perkhemahan itu.

"Dia sudah meminta kebenaran sejak Khamis lalu untuk menyertai perkhemahan ini dengan meminta wang yuran RM30 tetapi saya tidak membenarkannya dan dia menunjukkan protes sebelum saya membenarkannya semalam," katanya ketika ditemui Hospital Beaufort hari ini.

Bagaimanapun, Norisham berkata dia tidak menyangka perkara itu berlaku namun menerimanya dengan reda.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul berkata, pihaknya belum menerima laporan penuh berhubung kejadian itu daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang.

"Perkhemahan ini diluluskan oleh PPD Penampang dan program tidak membabitkan kawasan air.

"Bagaimanapun, saya belum mendapat laporan penuh mengenai kejadian itu dan saya sedang mendapatkannya," katanya.

Katanya lagi, difahamkan kejadian membabitkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan iaitu tiga disahkan meninggal dunia dan empat lagi kini menerima rawatan di Hospital Beaufort.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:09 PM