Anggota APM mengalihkan pokok tumbang di Kundasang. FOTO ihsan APM
Anggota APM mengalihkan pokok tumbang di Kundasang. FOTO ihsan APM
Norasikin Daineh


HUJAN berterusan disusuli ribut dan angin kencang menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh berlaku di sekitar Kundasang, Ranau, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan Ops Bantu untuk mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan dan menghempap sebahagian rumah penduduk serta membuang tanah tertimbus di halaman rumah penduduk sekitar daerah ini.

Pegawai APM Kundasang Leftenan Hasdiee Abdullah, pihaknya menerima sebanyak tujuh kes berkaitan pokok tumbang manakala satu kes tanah runtuh di Kundasang.

"Pihak kita menerima aduan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan menghempap sebahagian atap rumah penduduk pada jam 2.15 petang dan anggota bergerak serta merta ke lokasi kejadian untuk mengalihkan kayu serta tujuan pembersihan.

"Selain itu, pihak kita juga menerima aduan berkaitan runtuhan tanah yang menimbus halaman rumah penduduk dan sepasukan anggota dikejar ke lokasi untuk membuang tanah yang menimbus kawasan halaman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Hasdiee berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut yang melanda kawasan itu.

"Pihak kita akan sentiasa bersiap sedia sekiranya menerima sebarang panggilan kecemasan dan sehingga jam 8 malam ini, keadaan masih hujan disusuli angin kencang," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pasukan itu menerima sebanyak 147 panggilan berikutan hujan lebat dan angin kencang di pantai barat Sabah sepanjang tempoh tiga sehingga petang hari ini.

"Ini termasuk 100 kes membabitkan pokok tumbang di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Ranau, Beaufort, Kuala Penyu dan beberapa daerah lain.

"Kejadian ini susulan amaran keadaan cuaca buruk peringkat kuning yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada petang Isnin lalu, berlaku hujan lebat dan angin kencang di pantai barat Sabah selama tiga hari berturut sehingga hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:36 PM