LAKARAN  artis mengenai projek pembangunan KIP Sentral di Kota Warisan, Sepang.
LAKARAN artis mengenai projek pembangunan KIP Sentral di Kota Warisan, Sepang.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: KIP Group of Companies (Kumpulan KIP), syarikat pemaju hartanah tempatan kini giat membangunkan projek pembangunan bercampur dikenali KIP Sentral dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM390 juta di Sepang, Selangor.

KIP Sentral adalah projek pembangunan bersepadu pertama yang menggabungkan konsep hiburan, membeli-belah dan gaya hidup di kawasan perbandaran Kota Warisan, Sepang dengan keluasan 14.97 hektar dan kerja pembinaannya bermula sejak Mei 2013.

Pengarah Kumpulan KIP Valerie Ong berkata, projek dengan pegangan bebas itu dilihat sebagai antara projek terbaik bagi syarikat, ditambah kewujudan pelbagai pusat pengajian tinggi di kawasan berkenaan akan menjadi pemacu utama di kawasan Kota Warisan.

“Kami mengambil keputusan melaksanakan projek itu kerana sebelum ini sudah memiliki pengalaman dalam projek pembangunan bercampur seperti hotel, hartanah dan pengurusan pusat beli-belah,” katanya.

KIP Sentral membabitkan pembangunan dua jenis rumah kedai rekaan moden, unit kedai-pejabat, pusat beli-belah, pejabat kecil rumah pejabat (SOHO) serta hotel.

Ia terletak di lokasi strategik berdekatan dengan pusat pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa seperti Universiti Antarabangsa INTI, Universiti Nilai dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Xiamen University Kampus Malaysia, universiti pertama China yang memiliki cawangan di luar negara.

Beliau berkata, KIP Sentral diyakini mampu menyediakan keperluan asas, gaya hidup dan hiburan bagi penduduk di kawasan sekitar, penumpang yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain populasi pelajar pusat pengajian tinggi berkenaan.

“Kami begitu memahami produk yang ditawarkan termasuk populasi serta apa yang diperlukan mereka yang mahu membeli atau menyewa hartanah di samping mengenal pasti pesaing berpotensi dan melaksanakan promosi lebih agresif bagi projek pembangunan ini,” katanya.

Mengulas sambutan terhadap KIP Sentral, Valerie berkata, sebanyak 104 unit rumah kedai dua dan tiga tingkat serta 28 unit rumah kedai berkembar fasa satu bagi KIP Sentral sudah habis dijual.

Katanya, fasa kedua KIP Sentral membabitkan pembinaan pusat beli-belah dikenali KIP Mall sedang dilaksanakan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Fasa ketiga iaitu pembinaan SOHO dikenali Core SOHO Suites yang baru dimulakan dan berada di peringkat awal manakala fasa keempat iaitu pembinaan hotel masih dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat kini fokus kepada promosi jualan Core SOHO Suite yang memiliki 466 unit dan 76 unit komersial serta memiliki dua blok iaitu Blok A (288 unit) dan Blok B (178 unit) dengan GDV sebanyak RM140 juta serta dijangka siap pada 2019.

Projek yang terletak di kawasan seluas 1.29 hektar itu memiliki saiz binaan bermula 450 kaki persegi dengan harga bermula daripada RM238,800 atau purata RM530 satu kaki persegi.

“Kami melancarkan Blok A pada Mac lalu dengan pelancaran di galeri jualan dan menerima sambutan baik manakala Blok B terjual 95 peratus dengan 80 peratus sudah menandatangani perjanjian jual beli (SPA),” katanya.

Menurutnya, syarikat yakin projek itu akan terus menerima sambutan terutama daripada bakal pembeli dalam kalangan generasi muda yang lebih cenderung kepada saiz kediaman lebih kecil sama ada untuk tinggal atau tinggal serta bekerja.

Projek itu terletak di kawasan strategik serta memiliki akses mudah kepada kawasan perniagaan, pusat beli-belah KIP Mall dan Mitsui KLIA, KLIA 1 & 2 serta pusat pengajian dan dihubungkan secara langsung melalui Lebuhraya LDP, MEX dan ELITE.

“Kami masih membuka jualan bagi promosi Core SOHO Suite Blok A di mana orang ramai boleh meninjau sendiri unit pameran di Galeri Jualan baru yang terletak di KIP Mall, Kota Warisan dan berpeluang memilih sendiri unit ditawarkan,” katanya.

Sempena pelancaran Core SOHO Suite, Kumpulan KIP akan mengadakan acara ‘Family FunFairFest mulai hari ini hingga 1 Mei di KIP Mall, Kota Warisan dengan pelbagai acara menarik disediakan di samping orang ramai boleh melihat sendiri unit SOHO di galeri jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 3:23 AM