Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menolak andaian pembinaan Menara PNB 118 akan ditangguhkan meskipun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), baru-baru ini.

Pengerusi Kumpulannya Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya kekal komited dalam melaksanakan pembinaan menara itu mengikut tempoh pembinaan yang sudah ditetapkan.

“Pembinaan menara ikonik ini berjalan lancar dan sehingga kini, setinggi 18 tingkat daripada 118 tingkat sudah siap dibina,” katanya pada majlis berbuka puasa PNB bersama media di sini.

Menara PNB 118 dimiliki PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh PNB memiliki ketinggian 630 meter dan bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara apabila siap pada 2024.

Ia adalah satu daripada komponen Warisan Merdeka iaitu sebuah projek pembangunan bercampur dibangunkan di kawasan seluas sembilan hektar.

Keseluruhan projek ini membabitkan tiga fasa dengan kerja asas untuk fasa pertama yang membabitkan projek menara 118 tingkat sudah dimulakan pada 2014.

Fasa pertama menara 118 tingkat dan tujuh tingkat pusat beli-belah dijadualkan siap pada 2020 dan akan mengandungi empat komponen iaitu 82 tingkat lantai pejabat, 18 tingkat dikhaskan untuk hotel mewah bertaraf enam bintang, 18 tingkat untuk sky lobby, observation deck dan juga fasiliti mekanikal dan elektrikal serta sebuah pusat beli-belah berkeluasan 900,000 kaki persegi.

Kos pembangunan fasa pertama bernilai RM5 bilion dan bakal mewujudkan lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan.

Hyatt Hotels melalui Park Hyatt Kuala Lumpur menjadi penyewa pertama dalam Menara PNB 118 itu di mana ia bakal menawarkan 232 bilik tetamu termasuk 28 suite dan 30 pangsapuri sevis serta ruang persidangan seluas 20,000 kaki persegi dan akan memulakan operasi pada 2021.

Projek Warisan Merdeka diumumkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2011 di mana ia akan dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara untuk tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 4:15 AM