PROJEK daripada Sime Darby Property, KL East Mall yang akan dibuka pada Mac 2020.
PROJEK daripada Sime Darby Property, KL East Mall yang akan dibuka pada Mac 2020.
Sri Ayu Kartika Amri


SEGMEN perniagaan dan pendidikan dijangka menjadi fokus utama bagi perbandaran bersepadu kendalian Sime Darby Property Berhad dikenali sebagai KL East dan ia dapat direalisasikan selepas siap sepenuhnya menjelang 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Vision Valley dan Pengarah Pelaburannya, Datuk Redza Rafiq berkata, pembangunan keseluruhan KL East membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.614 bilion dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, pembangunan bersepadu berkeluasan 64.75 hektar itu merangkumi bangunan kediaman dan pusat beli-belah pertama milik penuhnya, KL East Mall.

“KL East Mall adalah pembangunan pusat beli-belah pertama dan 100 peratus dibangunkan Sime Darby Property dengan keluasan kasar dianggarkan 1.2 juta kaki persegi.

“KL East Mall dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2020,” katanya sempena majlis pengumuman barisan penyewa utama KL East Mall di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Lokasi strategik KL East Mall memberi akses mudah kepada pembeli di sekitar kejiranan KL East seperti Melawati, Wangsa Maju, Setiawangsa, Batu Caves, Ampang dan Selayang.

Pusat beli-belah itu juga menampilkan reka bentuk unik dan urban selain menyediakan 1,300 ruang tempat kereta tersusun.

Setakat ini, 75 peratus daripada 1.2 juta meter persegi ruang sewaan yang disediakan KL East Mall sudah diduduki dan yakin jumlah itu bertambah menjelang hari pembukaan.

Antara jenama ternama termasuk Jaya Grocer, Harvey Norman, MBO dan Blue Ice-Skating Rink.

Redza berkata, KL East Mall akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan berkenaan sebagai pusat komersial yang memenuhi keperluan gaya hidup bagi golongan pertengahan dan ke atas.

“Banyak lagi yang akan dijalankan dari segi projek pembangunan di sini.

“Pusat beli-belah ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain kerana masyarakat gemar ke pusat beli-belah berhampiran kediaman mereka.

“Ia juga menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 1:03 PM