NORHALIM  (lima dari kiri) bersama wakil syarikat penerima dana pada  majlis menandatangani perjanjian antara MTDC dan lapan syarikat penerima dana Program MSI. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Prof Madya Dr Ramzah Dambul (empat dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
NORHALIM (lima dari kiri) bersama wakil syarikat penerima dana pada majlis menandatangani perjanjian antara MTDC dan lapan syarikat penerima dana Program MSI. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Prof Madya Dr Ramzah Dambul (empat dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Malaysia Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) terus komited membangunkan usahawan inovasi tempatan dengan mengagihkan sekitar RM157 juta pelbagai dana sepanjang tahun ini yang memberi manfaat kepada 44 syarikat tempatan.

Jumlah agihan itu meliputi lima dana yang disediakan iaitu pengkormersialan produk penyelidikan dan pembangunan (CRDF), pengambilalihan teknologi, permulaan perniagaan (TAF), pertumbuhan perniagaan (BGF), perkembangan perniagaan dan pembangunan teknologi halal (dana halal).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, jumlah agihan itu melepasi sasaran yang diletakkan iaitu RM145 juta pada tahun ini dan ia termasuk di dalam dana keseluruhan yang diberikan oleh kerajaan sepanjang Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) iaitu RM900 juta.

Beliau berkata, selain menyediakan dana yang berada dibawah kelolaannya, MTDC turut menerima dana tambahan untuk Program Inovasi Sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) (Program MSI) sebanyak RM2.5 juta pada tahun ini.

“Program MSI adalah aktiviti pengkormersialan pembangunan penyelidikan yang memberi faedah sepenuhnya kepada masyarakat dan usahawan tempatan dalam pelbagai lapangan kajian seperti perubatan, saluran air bersih dan keusahawanan kepada masyarakat.

“Terkini, menerusi Program MSI, MTDC menyalurkan dana berkenaan kepada lapan syarikat yang mempunyai inovasi dalam pelbagai bidang termasuk universiti bagi membantu masyarakat setempat di seluruh Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara MTDC dan lapan syarikat penerima dana Program MSI di sini, semalam.

Lapan syarikat berkenaan ialah RVR Diagnostics Sdn Bhd, Membrane Technology Sdn Bhd, Norsym Sdn Bhd, Phytogold Sdn Bhd, Novapave Sdn Bhd, Triple A Engineering Sdn Bhd, LaDIY Healthcare Sdn Bhd dan Cell Tissue Technology Sdn Bhd.

Semua syarikat berkenaan sudah melaksanakan projek inovasi sejak dua bulan lalu dan dijangka berakhir Januari tahun depan dengan ada antaranya memfokuskan kepada pembangunan golongan miskin, perkhidmatan dan peningkatan skil menerusi teknologi MTDC CRDF.

Dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10, syarikat yang menerima dana CRDF dan TAF menjana RM1.974 bilion jualan dan menyumbang kepada 5,261 peluang pekerjaan baru serta mewujudkan 465 hak harta intelek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 6:53 AM