Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (dua kiri) bersama pegawainya melihat 14 daripada 26 laras senapang patah dan peluru milik RELA yang berjaya dirampas daripada suspek serta selaras senapang buatan sendiri dalam sidang media kes kehilangan senjata api milik RELA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), Jalan Stadium pada 28 Mac lalu. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Hayati Ibrahim

Putrajaya: Semua 26 senapang patah milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Selama, Perak yang hilang bulan lalu sudah ditemui, dan tiada suspek baharu dikenalpasti.

Tanpa mendedahkan bila dan lokasi ditemui, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sudah mendapatkan semula semua senjata yang sudah dijual.

"Setakat ini, tiada tangkapan baharu dilakukan, dan jumlah tangkapan kekal seperti sebelum ini,"katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Kehilangan senapang patah itu disedari awal bulan lalu, selepas Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan dan Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Sebelum ini, 14 daripada 26 senapang patah berkenaan sudah dirampas dari 14 suspek berusia 29 hingga 56 tahun.

Sementara, pegawai berusia 55 tahun yang menjadi dalang utama kehilangan senapang patah itu disyaki sudah lama menjalankan kegiatan itu, dan dikatakan menjualnya pada harga antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap satu dengan pembeli dalam kalangan kenalan rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 1:16 PM