Datuk Kamaruddin Mohd Rapiq. FOTO Sharul Hafiz Zam
Datuk Kamaruddin Mohd Rapiq. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


Alor Setar: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sedang menambah baik prosedur pengurusan senjata api bagi mengelak kejadian kehilangan senapang patah milik jabatan itu di Bukit Selambau, Sungai Petani, Mac lalu, berulang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA Malaysia, Datuk Kamaruddin Mohd Rapiq berkata, pihaknya sedang mengadakan bengkel prosedur manual pengurusan senjata api diketuai beliau selain beberapa anggota jawatankuasa membabitkan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bengkel ini bertujuan mengkaji semula manual penugasan dan pengurusan senjata api milik RELA yang kini berada dalam proses akhir sebelum dibentangkan kepada KDN.

“Selain itu kita akan menambah baik keperluan stor penyimpanan senjata meliputi proses keluar masuk senjata serta penggunaannya oleh anggota,” katanya selepas menghadiri Majlis Karnival RELA 2017 di perkarangan Dewan Orang Ramai Taman Wira, Mergong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, rekod atau inventori keluar masuk senjata oleh anggota memang sudah dipraktikkan namun melihat kepada keadaan semasa, terdapat keperluan menambahbaik semula prosedur berkenaan.

“Memang senjata api disimpan dan dijaga dalam stor yang mempunyai pengawal, cuma kita menambahbaik prosedur ini mungkin dengan meletakkan lebih ramai pengawal daripada lima kepada 10 orang,” katanya.

Kamaruddin berkata, hanya lima peratus daripada 3.2 juta anggota RELA diberikan kuasa mengendalikan senjata api mengikut syarat dan keadaan tertentu saja.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan 26 senapang patah milik RELA di Stor Senjata Api Pusat Latihan RELA Wilayah Utara, Bukit Selambau.

Susulan kehilangan itu, polis memberkas dalang utamanya kes yang juga pegawai agensi itu di Pengkalan Hulu, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 8:18 PM