Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis tahan dua lelaki termasuk seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan merampas selaras senapang patah bersama 68 peluru hidup dalam serbuan di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama Jeli, kelmarin.

Dalam serbuan pada 8 malam di sebuah rumah itu, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama senjata api berkenaan sebelum tangkapan susulan membabitkan anggota RELA berusia 41 tahun pada hari yang sama.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati senjata api berkenaan milik anggota RELA namun ia dipinjamkan kepada rakannya sejak tiga bulan lalu.

"Berdasarkan rakaman percakapan, suspek berusia 45 tahun itu tidak memiliki lesen senjata api dan mendakwa senapang berkenaan dipinjam untuk tujuan memburu.

"Pemeriksaan turut mendapati senjata itu sudah digunakan dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti tujuan sebenar penggunaannya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota RELA berkenaan melakukan kesalahan serius iaitu penyalahgunaan senjata api apabila meminjamkan senapang berkenaan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 3:56 PM
SHAFIEN (kiri) bersama pegawainya menunjukkan 68 peluru hidup serta kelongsong peluru dan satu laras senjata api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama. FOTO Nik Abdullah NIK Omar
SHAFIEN (kiri) bersama pegawainya menunjukkan 68 peluru hidup serta kelongsong peluru dan satu laras senjata api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama. FOTO Nik Abdullah NIK Omar