Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes kehilangan senjata api milik jabatan itu sejak awal bulan ini.

RELA dalam kenyataan berkata, pihaknya menyokong tindakan tegas yang diambil selain memberi bekerjasama sepenuhnya kepada polis.

Katanya, satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi melaksanakan beberapa langkah jangka pendek dan panjang dalam menambahbaik pengurusan senjata api RELA.

"Peranan pasukan khas ini termasuk mengkaji semula segala arahan termasuk manual pengurusan senjata api sedia ada dan menubuhkan pasukan naziran terdiri dari pegawai RELA Ibu pejabat, RELA negeri dan Pusat Latihan RELA Malaysia.

"Selain itu, pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api akan dilaksanakan, serta menambah baik stor penyimpanan dan meningkatkan kemahiran anggota RELA dalam pengurusan persenjataan," katanya.

Pada masa sama, katanya, pasukan itu juga akan mengkaji keperluan jawatan tambahan bagi mengurus semua hal berkaitan senjata api.

"Langkah ini dijangka dapat menambahbaik pengurusan senjata api pasukan RELA," katanya.

Media sebelum ini melaporkan enam individu di Kedah dan Perak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik RELA daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Penguat Kuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan RELA, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan hanya 26 laras senjata api milik RELA dikesan hilang selepas semakan semula dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 7:31 PM