Kuala Lumpur: Pelaburan MARA Berhad (PMB) menafikan laporan berkaitan kumpulan berkenaan yang dikatakan sebagai menanggung kerugian sehingga RM1 bilion daripada pelaburannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Nazim Rahman dalam kenyataannya berkata, PMB mempunyai sistem tadbir urus dan piawaian pengurusan risiko ke atas aktiviti pelaburan dengan pelbagai portfolio.

“Portfolio PMB merangkumi pasaran wang, pendapatan tetap, ekuiti persendirian dan hartanah. Malah, pelaburan dalam pasaran ekuiti tidak melebihi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio,” katanya.

Menurutnya, sehingga 31 Disember 2014, jumlah keseluruhan pelaburan ekuiti adalah sebanyak RM260 juta dan sesuatu yang tidak masuk akal apabila ada pihak mengatakan PMB berdepan kerugian sehingga RM1 bilion.

“Dengan jumlah keseluruhan pelaburan ekuiti sebanyak RM260 juta, mana mungkin PMB boleh mengalami kerugian atas kertas sebanyak RM1 bilion. Walaupun semua pelaburan dilupuskan, kerugian hanya terjadi kepada jumlah pelaburan awal,” katanya.

Nazim berkata, sebagai syarikat pengurusan aset berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSA), PMB beroperasi secara berasingan sebagai syarikat pengurus dana Islamik dan syarikat pengurusan amanah saham dengan objektif dan kriteria PMB Investment mengikut perundangan dan kawalan ketat.

“PMB Investment menguruskan 14 dana unit amanah dan dana-dana itu mempunyai pelaburan pelbagai kelas aset. Sebarang keputusan berkaitan pelaburan perlu mematuhi proses pelaburan yang ketat seperti yang diputuskan komuniti jawatankuasa pelaburannya,” katanya.

Menurutnya, sebagai bukti pengurusan dan pentadbiran yang baik, PMB Investment memenangi beberapa anugerah dengan yang terbaru termasuk Anugerah Ekuiti Islam Malaysia Terbaik untuk tiga tahun pada Anugerah Dana The Edge-Lipper Malaysia 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:06 AM