myMetro

Kuala Lumpur: Gandingan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron (gambar)-Peck Yen Wei mara ke pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Vietnam selepas menumpaskan pasangan tuan rumah Le Hoang Nhat Quang-Nguyen Thi Phuong Ha, semalam.

Mereka mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk mencatat kemenangan 21-15, 21-14 di Stadium Cau Giay, Hanoi.

Menanti mereka pada pusingan kedua pilihan kelima dari Indonesia, Rian Swastedian-Masita Mahmudin yang sebelum itu mengalahkan Lee Fang Chih-Peng Li Ting dari Taiwan 21-5, 24-22.

Jurulatih beregu campuran negara Chin Eei Hui berharap pasangan muda negara itu mampu melakar kejutan hari ini seterusnya mara ke suku akhir.

“Mereka gandingan baru dan masih muda, tapi ini adalah pasangan berpotensi untuk masa depan beregu campuran negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, menurut ranking semasa Pang Ron-Yen Wei adalah gandingan keempat terbaik negara di belakang Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Cabaran negara dalam aksi perseorangan lelaki berakhir semalam appabila Cheam June Wei tumpas 17-21, 17-21 kepada Wisnu Yuli Prasetyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:13 AM