SHEVON (kiri) dan Soon Huat mara ke pusingan kedua. FOTO FB BAM
SHEVON (kiri) dan Soon Huat mara ke pusingan kedua. FOTO FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memulakan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Switzerland.

Beregu campuran negara yang bergerak secara sendiri selepas dibebaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu itu menewaskan wakil Perancis, Eloi Adam-Margot Lambert 21-18, 21-14.

Mereka yang diletakkan pilihan keempat dan kini memburu tempat ke temasya Olimpik hanya memerlukan 33 minit untuk menjinakkan lawan.

Mengulas perlawanan semalam, Shevon berkata, dia bersama Soon Huat hanya memikirkan untuk memberikan aksi terbaik kerana tidak mahu memberi tekanan kepada corak permainan masing-masing.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Gembira dapat menang perlawanan semalam dan ia adalah pemanas badan yang baik untuk perlawanan seterusnya. Saya harap saya dapat mengekalkan momentum dan terus melakarkan kemenangan," katanya.

Turut mara dua lagi beregu campuran negara Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kian Meng-Pei Jing menewaskan pasangan Indonesia Adnan Maulana-Mychellec Crhystine Bandaso, 21-13, 21-12 manakala Peng Son-Liu Ying terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan beregu Thailand, Nipitphom Phuangphuapet-Benyapa Aimsaard 21-15, 15-21, 21-19.

Sementara itu dua lagi wakil beregu campuran negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Hoo Pang Ron - Cheah Yee See ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama masing-masing kepada lawan dari Perancis.

Tang Jie-Yen Wei tewas kepada Thom Gicquel-Delphine Delrue 12-21, 17-21 manakala Pang Ron-Yee See tewas kepada Ronan Labar-Anne Tran 19-21,17-21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:44 PM