ASAM pedas menu hidangan popular Melaka.
ASAM pedas menu hidangan popular Melaka.
MENAIKI Menara Taming Sari memperlihat pemandangan bandar Melaka.
MENAIKI Menara Taming Sari memperlihat pemandangan bandar Melaka.
KOTA A’Famosa bukit tinggalan sejarah yang ada tarikan tersendiri.
KOTA A’Famosa bukit tinggalan sejarah yang ada tarikan tersendiri.
MUZIUM Kapal Selam.
MUZIUM Kapal Selam.
PEMANDANGAN mempesona yang disajikan saat menaiki Melaka River Cruice pada waktu malam.
PEMANDANGAN mempesona yang disajikan saat menaiki Melaka River Cruice pada waktu malam.
PEMANDANGAN Muzium Samudera  dari Menara Taming Sari.
PEMANDANGAN Muzium Samudera dari Menara Taming Sari.
 The Shore Sky Tower tawar pengalaman mengujakan di atas bangunan tertinggi di Melaka.
The Shore Sky Tower tawar pengalaman mengujakan di atas bangunan tertinggi di Melaka.
PERSIS berada di padang pasir, Pantai Klebang tawar pemandangan mengujakan.
PERSIS berada di padang pasir, Pantai Klebang tawar pemandangan mengujakan.
Suliati Asri


Keterujaan dan telatah si kecil saat melihat pelbagai tarikan menarik dari puncak Menara Taming Sari pada ketinggian 80 meter dengan pemandangan 360 darjah cukup mencuit hati.

Apa saja yang menarik pada pandangan matanya membuatkan mereka melompat dek teruja.

Datuk dan nenek pula hanya tersenyum melihat gelagat si cucu sambil turut sama menikmati keindahan panorama indah yang disajikan.

Itulah yang dirasai saat bercuti bersama keluarga di Melaka, baru-baru ini.

Bermula dari matahari terbit hingga ke malam, tiada istilah bosan saat mengunjungi bandar bersejarah yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia ini.

Selain kesan sejarah yang menjadi tumpuan, kepelbagaian tarikan baru di bandar ini juga menambahkan lagi keseronokan walaupun sudah acap kali bertandang.

Memulakan penerokaan di Melaka, Menara Taming Sari adalah tarikan pertama yang perlu dikunjungi.

Menawarkan pemandangan 360 darjah bandar Melaka dari ketinggian 80 meter, pelbagai tarikan menarik termasuk kota bersejarah A’Famosa, Muzium Samudera dan banyak lagi yang boleh dilihat.

Memuatkan 66 penumpang dalam satu masa dan mengambil masa kira-kira tujuh minit, pengunjung dapat melihat keseluruhan kawasan bandar Melaka hingga ke selat Melaka.

Selepas puas menikmati keindahan bandar Melaka dari atas, kunjungan ke kota bersejarah A’ Famosa dan kawasan sekitarnya termasuk Muzium Samudera pastinya tidak mengecewakan.

Walaupun ia sudah lama dan menjadi lokasi wajib dilawati saat ke Melaka, ia nyata tidak membosankan kerana nilai sejarahnya yang cukup tinggi.

Riuh-rendah dek pelbagai jenis lagu yang dimainkan si pengayuh beca untuk menarik perhatian pelancong menaiki beca dihias cantik di sekitar kubu Portugis yang dibina pada tahun 1511 itu menambahkan keseronokan.

Selesai menikmati keenakan asam pedas, masakan paling popular di Melaka, penerokaan di kota bersejarah ini diteruskan dengan menaiki Melaka River Cruise.

Melaka River Cruise ini boleh dinaiki siang dan malam. Walaupun laluan yang sama namun, ia menawarkan pemandangan yang berbeza.

Pada waktu siang, landskap menarik dan ‘wall art’ yang berwarna-warni serta kreatif boleh dilihat.

Pada waktu malam pula, kerlipan lampu warna-warni dari bangunan berdekatan dan rumah di Kampung Morten menambahkan keterujaan.

Menjadi antara tarikan baru di Melaka, The Shore Sky Tower pasti membuatkan anda teruja.

The Shore Sky Tower adalah bangunan yang tertinggi di Melaka dengan ketinggian 42 tingkat iaitu 153 meter.

Di sini, terdapat platform kaca lut sinar dibina untuk membolehkan pengunjung menguji keberanian ambil menikmati pemandangan dari sudut yang berbeza.

Acara merakam swafoto dan gambar kenangan adalah satu kemestian tatkala mengunjungi The Shore Sky Tower.

Terdapat juga kafe iaitu the Sky Deli Restaurant untuk menjamu selera sambil menikmati pemandangan yang memukau ini.

Selesai kunjungan di sekitar bandar, kunjungan ke pesisir pantai selat Melaka, Pantai Klebang tidak mengecewakan.

Pantai Klebang adalah salah satu daripada pantai yang ada di Melaka. Namun, disebabkan lokasinya yang lebih strategik iaitu lebih dekat dengan bandar Melaka, secara tidak langsung ia menjadi pantai yang paling popular di sini.

Di sini terdapat satu lokasi unik iaitu kawasan ‘padang pasir’ yang sedikit tersorok. Walaupun tersembunyi, anda tidak perlu risau kerana sentiasa ramai orang di sini.

Muzium Kapal Selam sepanjang 67.57 meter juga adalah tarikan di Pantai Klebang ini.

Ia muzium kapal selam yang ketujuh di dunia selain di England, Australia, Jerman, Russia, India dan Jepun.

Meninjau jauh ke dalam perut kapal selam itu, pengunjung dapat melihat tempat tidur untuk kru yang serba ringkas seperti dorm asrama sekolah.

Di dalam ruang yang terhad itu juga terdapat meja makan untuk kru.

Terdapat juga ruang pengemudi, komputer, sistem radar serta navigasi yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama kapal berkenaan.

Di Pantai Klebang, Bustel (bas yang dijadikan hotel adalah lokasi penginapan eksotik. Ia juga adalah tarikan terbaru di sini.

Menunggang kuda padi dan menaiki kereta kuda juga adalah tarikan di Pantai Klebang.

Tatkala senja mula melabuhkan tirainya dan selesai menikmati ‘coconut shake’ yang menjadi minuman popular di Melaka, kami mengatur langkah untuk pulang.

Ternyata, seharian berjalan di kota bersejarah ini nyata tidak cukup untuk meneroka di setiap tempat menarik yang ditawarkan di Melaka.

Bagaimanapun, percutian yang singkat nyata cukup mengujakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 10:39 AM