MUZIUM Marina Labuan memberi peluang pengunjung melihat hidupan laut.
MUZIUM Marina Labuan memberi peluang pengunjung melihat hidupan laut.
SUASANA di Muzium Chimney menarik perhatian pengunjung.
SUASANA di Muzium Chimney menarik perhatian pengunjung.
TUGUPeringatan Perdamaian di Labuan.
TUGUPeringatan Perdamaian di Labuan.
KEDAI bebas cukai di Labuan.
KEDAI bebas cukai di Labuan.
PENGUNJUNG dapat melihat model kediaman ketika perlombongan arang batu di Tanjung Kubong.
PENGUNJUNG dapat melihat model kediaman ketika perlombongan arang batu di Tanjung Kubong.
PERALATAN yang digunakan dalam aktiviti perlombongan arang baru.
PERALATAN yang digunakan dalam aktiviti perlombongan arang baru.
IKAN seperti ini memang jarang ditemui, tetapi ada di perairan  Labuan.
IKAN seperti ini memang jarang ditemui, tetapi ada di perairan Labuan.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim


Labuan memang tersenarai antara destinasi percutian yang menjadi tumpuan pelancong kerana zon bebas cukai itu menyediakan pelbagai tarikan, antaranya selam skuba untuk melihat bangkai kapal karam, aktiviti membeli-belah barangan bebas cukai dan relik Perang Dunia Kedua.

Pulau kecil itu turut digelar Mutiara Borneo dan menjadi sebuah pusat perdagangan dan kewangan disegani.

Terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah, Labuan diisytiharkan pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan menjadi pelabuhan bebas cukai sejak 1956.

Penulis berpeluang mengunjunginya sempena Festival Air Labuan melalui penerbangan dari Kuala Lumpur yang mengambil masa kira-kira tiga jam ditaja Tourism Malaysia.

Hari kedua di Labuan, penulis dibawa mengunjungi kedai bebas cukai yang menyediakan pelbagai jenis barangan antaranya coklat, makanan dan tembakau yang dijual murah.

Walaupun coklat banyak dijual di tempat lain, istimewanya produk di kedai bebas cukai itu jarang ditemui di tempat lain. Malah, ada antaranya memang boleh ditemui di situ saja.

Sebelum puas melihat pelbagai jenis barangan bebas cukai, kami meluangkan waktu di Memorial Perang Dunia Kedua.

Memorial itu adalah yang terbesar di Malaysia dan menjadi saksi kepada persemadian 3,908 askar yang terkorban pada Perang Dunia Kedua.

Ia adalah tempat utama bagi sambutan Hari Peringatan dan upacara tahunan bagi menghormati wira perang, dijalankan dengan penuh tradisi ketenteraan.

Hari ketiga, penulis mendapat pengalaman berbeza kerana dibawa ke Labuan International Golf Club menikmati panorama dengan reka bentuk menarik flora dan fauna untuk menjadi tatapan mereka yang meminati sukan itu.

Direka arkitek terkenal dari Australia yang turut mencipta Parslow & Winter Golf Course, padang golf itu mempunyai 18 lubang di bawah 72 par, padang golf pantas yang menjadi tempat pilihan dalam kalangan pemain golf di Borneo.

Club House pula berfungsi menyediakan kemudahan untuk memberi keselesaan kepada pemain golf.

Perjalanan diteruskan ke Peace Park dan Surrender Point, salah satu tempat wajib bagi pengunjung jika datang ke Labuan.

Taman Damai yang tenang di Kampung Layang-Layangan ialah simbol keamanan dan harmoni yang diserikan dengan jambatan gaya Jepun, kolam dan landskap menarik.

Taman Damai ialah tanda penghormatan bagi mereka yang bertarung nyawa di Borneo ketika Perang Dunia Kedua.

Di sebelahnya ialah Tugu Penyerahan Jepun iaitu tempat Angkatan Tentera Jepun ke-37 menyerah kepada Angkatan Tentera Diraja Australia pada 10 September 1945.

Penyerahan penuh bersejarah itu menandakan tamatnya Perang Dunia Kedua di Borneo.

Tugu itu dilancarkan semula pada 2011 dan ia didirikan bagi memperingati askar yang berjuang untuk kebebasan Borneo, sekali gus menamatkan perang.

Tempat tarikan lain yang mesti dikunjungi ialah Muzium Chimney. Ia adalah bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang berusia lebih seabad.

Muzium itu agak unik kerana berdasarkan namanya ramai menganggap ia berfungsi sebagai cerobong asap. Namun, tiada kesan pembakaran pada dinding sebelah dalam.

Berhampiran muzium itu ialah Taman Burung yang didiami pelbagai jenis burung di Borneo.

Anda boleh melihat spesies yang jarang ditemui seperti burung merak, burung kenyalang dan burung raja udang.

Pasti tidak lengkap rasanya jika datang ke Labuan jika tidak menikmati panorama matahari terbenam yang sungguh mempesonakan.

Persekitaran Labuan dikelilingi laut menyebabkan kawasan pantai sering menjadi tumpuan pengunjung terutama di hujung minggu untuk menyaksikan fenomena semula jadi itu.

Antara pantai terkenal di Labuan ialah Pantai Pancur Hitam dan Pantai Layang-Layangan dengan air yang jernih dan pantai yang bersih.

Lokasi itu menjadi tumpuan kerana adanya pelbagai gerai makanan, sekali gus membolehkan pengunjung menjamu selesa sambil menikmati pemandangan indah.

Pantai Layang-Layangan turut menjadi tumpuan untuk bergambar kerana di hujung pantai itu terdapat sepohon pokok yang tumbuh di atas batu dan hanya dapat dilihat dengan lebih dekat ketika air surut.

Sedar tidak sedar, kami sudah berada di hari terakhir di Labuan. Kami dijemput ke Kampung Sungai Labu untuk mencuba sendiri cara pembuatan kuih tradisioanal Labuan.

Kuih Punjung, antara kuih tradisional bagi masyarakat Labuan dan disediakan bagi majlis perkahwinan atau perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 1:18 PM