Mohd Taib
Mohd Taib
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes samun dan mencabul kehormatan dua wanita, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek ditahan di Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda (BBU) ketika sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata, suspek pada mulanya bertindak melarikan diri, namun kemudian berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Sepasukan anggota Balai Polis Tampoi bertindak menahan suspek berdasarkan maklumat berhubung kes samun dan mencabul kehormatan.

“Kita turut merampas satu telefon bimbit Samsung Galaxy J2 daripada suspek," katanya.

Mohd Taib berkata, mangsa pertama suspek adalah seorang wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang biskut di BBU.

“Dia disamun seorang lelaki disyaki suspek terbabit pada 7.14 pagi ketika berada di tepi Jalan Padi 1 di sini, selepas turun dari bas dan menuju ke tempat kerjanya.

“Suspek bertindak menyerang mangsa dan melarikan telefon bimbit Samsung J2, RM80 dan kad ATM Maybank.

"Mangsa lebam di muka, kedua-dua mata, kepala dan tangan serta pecah bibir, telinga berdarah selain mendapat dua jahitan di kaki dipercayai dipukul atau ditumbuk suspek," katanya.

Manakala, katanya, mangsa kedua adalah seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah kedai elektrik di Jalan Padi 1 di sini.

Katanya, pada 4 pagi kelmarin, ketika mangsa menunggu bas di hentian bas di Jalan Padi 1 berhampiran sebuah bank tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali yang terus memegang mangsa dan menyuruh mangsa duduk bersamanya.

“Mangsa tidak mahu melayan kehendak suspek menyebabkan suspek mencekik leher dan mengheret mangsa ke kawasan pokok bunga sebelum membaringkannya seperti mahu merogolnya.

“Pada masa sama, datang seorang lelaki yang menjerit menyebabkan suspek terus melarikan diri," katanya.

Menurut Mohd Taib, suspek kini direman tujuh hari hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan dokumen perjalanannya dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 3:54 PM