Siti Zarinah Sahib

Tidur penting untuk bayi. Bayi berusia kurang daripada enam bulan memerlukan tidur selama 16 jam sehari. Ini bermakna mereka memerlukan waktu tidur lebih lama berbanding kanak-kanak untuk perkembangan tubuh dan otak.

Apabila umur bertambah, tempoh tidur ini berkurangan kerana si kecil sudah pandai bermain dan aktif setiap hari. Namun bagi bayi tidur yang mencukupi amat penting kerana kurang tidur boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan disebabkan sebahagian besar ‘kerja’ hormon berlaku ketika tidur, termasuklah pertumbuhan otak dan tumbesaran mereka.

Namun ada bayi yang tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam dan tidur lena pada waktu siang. Sudah pasti ia menyebabkan ibu kurang tidur dan berada dalam tekanan kerana perlu berjaga malam. Ada pelbagai sebab mengapa bayi sukar tidur atau tidak dapat tidur yang lena antaranya:

1. Lapar

Sama seperti orang dewasa, bayi memerlukan makanan secukupnya agar perutnya sentiasa kenyang. Namun jika bayi belum berusia enam bulan makanan bayi hanyalah susu. Sebagai ibu, seharusnya menyusukan bayi anda sekurang-kurangnya setiap empat jam kerana bayi mudah lapar. Sebelum tidur, susukan bayi secukupnya dan perhatikan sama ada masalah bayi yang susah tidur ini akan berkurangan atau sebaliknya.

2. Suasana tidak tenang

Bayi memerlukan ketenangan dan suasana yang mendamaikan ketika tidur. Oleh itu jauhkan bilik tidur dari suasana bising dan lampu yang terlalu terang. Selain itu, pastikan juga ruang udaranya mencukupi untuk menjaga keselesaan dan kesihatan bayi. Suhu bilik juga perlu diberikan perhatian, jangan terlalu panas atau sejuk. Jika menggunakan pendingin udara, pastikan suhunya sederhana dan sesuai untuk bayi.

3. Pakaian tidak selesa

Pakaian yang tidak selesa seperti tidak menyerap peluh atau terlalu ketat boleh mengganggu tidur bayi. Sebaiknya, pakaikan baju tidur yang ukurannya sesuai dengan tubuh bayi (jangan terlalu besar atau kecil dan diperbuat daripada material yang lembut serta menyerap peluh seperti kapas.

4. Bayi mula tumbuh gigi

Proses tumbuh gigi bagi bayi amat menyakitkan sehingga tidurnya menjadi kurang nyenyak. Gigi yang baru hendak tumbuh akan membuatkan bayi berasa tidak selesa kerana gusinya terasa gatal. Usia bayi apabila gigi pertamanya mula tumbuh adalah berbeza-beza, namun rata-rata bayi mulai tumbuh gigi pada usia enam bulan.

Kebanyakan bayi yang tumbuh gigi akan menunjukkan tanda seperti mengeluarkan air liur dan suka menggigit benda keras. Cara terbaik untuk melegakan ketidakselesaan anak anda ialah memicit gusinya dengan lembut. Pastikan anda membasuh tangan sebelum melakukannya untuk mengelakkan anda memindahkan kuman ke dalam mulut si kecil.

5. Gangguan kesihatan

Bayi yang demam, batuk atau mempunyai masalah kesihatan akan kerap menangis. Jika perlu, segeralah berjumpa doktor bagi memastikan masalah kesihatan tidak lagi mengganggu tidurnya.

6. Teman bayi tidur

Menemani bayi sehingga benar-benar tidur akan menyebabkan bayi tidak selesa apabila anda tiada di sisinya. Oleh itu teman bayi anda sehingga dia hampir tidur, bukannya benar-benar lena. Apabila bayi sudah biasa dengan dunianya sendiri, dia tidak lagi merengek minta ditemani jika terbangun pada tengah malam. Secara tidak langsung anda mendidik bayi untuk mengatasi kegelisahan dan membuatkannya lebih berkeyakinan.

7. Tidurkan waktu dia mengantuk

Sebaik-baiknya rutin tidur bayi anda patut bertahan selama 30 hingga 60 minit untuk setiap kali tidur manakala bagi kanak-kanak yang sudah memasuki alam persekolahan pula, rutinnya adalah di antara 20 hingga 30 minit. Untuk bayi pastikan sehingga dia benar-benar mengantuk sebelum anda menidurkannya. Anda boleh melihat bayi menggosok-gosok matanya atau menangis kerana ingin tidur.

8. Cahaya mentari sebagai loceng

Cahaya mentari memainkan peranan yang penting untuk membetulkan pola tidur harian si kecil. Pendedahan anak kepada sinar matahari sebaik sahaja terjaga dari tidur boleh memberinya petanda semula jadi bahawa hari sudah siang manakala suasana gelap menunjukkan hari malam dan bayi perlu tidur lebih lama.

9. Ajar anak cara menidurkan dirinya

Teruskan mendidik anak mengenai kepentingan mempunyai rutin tidur yang menenangkan. Berikan juga tumpuan kepada kesan berkaitan tidur yang mungkin mempengaruhi tabiat tidur anak anda. Galakkan anak belajar menenangkan diri sekiranya terjaga pada tengah malam. Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang sudah bersekolah masih memerlukan bantuan ibu bapa untuk tidur semula selepas terjaga.

Waktu tidur untuk si kecil atau kanak-kanak yang sudah memasuki alam persekolahan sepatutnya bermula antara jam 7 petang hingga 9 malam. Elakkan daripada membiarkan anak tidur lewat terlalu kerap. Ini bagi mengelakkan pola aktiviti harian mereka terjejas.

10. Jangan abaikan tidur petang

Apabila anak anda tidak lagi mengamalkan tabiat tidur petang, anda boleh menggalakkannya menggantikan tabiat itu dengan masa untuk bersantai. Dengan ini, masa santai itu bukan sahaja memanfaatkan si anak malahan anda berdua.

11. Makanan yang betul

Jika anda menghidangkan makanan berkarbohidrat kompleks bersama protein, anda sebenarnya memberi anak anda snek yang dibekalkan dengan ‘kuasa’ berpanjangan. Ini mengelakkannya daripada terjaga pada bila-bila masa. Berbeza dengan makanan kaya protein atau gula, tenaga yang diperoleh daripada makanan ini menyukarkan rutin tidurnya daripada berjalan lancar. Seperkara yang perlu diingati ialah perhatikan waktu pengambilan hidangan berat agar tidak terlalu dekat dengan waktu tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 11:10 AM