ROHANA (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis heroin dan peralatan lain yang dirampas. FOTO Danial Noordin
ROHANA (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis heroin dan peralatan lain yang dirampas. FOTO Danial Noordin
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu, heroin dan eramin 5 seberat 265.21 gram dianggarkan bernilai RM16,150 dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Langgar menghala ke Pokok Sena, di sini, pada 12.15 tengah malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan di dalam kereta ketika sedang melalui sekatan jalan raya berikutan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di dalam kereta, polis menjumpai tiga beg yang setiap satunya berisi 15 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 35.85 gram (g), sembilan paket plastik lutsinar dan satu tiub straw heroin seberat 229.71 g serta satu tujuh biji pil eramin 5 yang dibalut dalam pembalut aluminium seberat 1.87g.

"Kesemua beg berkenaan disembunyikan dalam dashboard kereta terbabit sebelum ditemui pihak polis termasuk wang tunai berjumlah RM3, 468," katanya.

Katanya, turut dirampas adalah sebuah cota dan sebilah pisau kerambit dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, selain alat penimbang digital disyaki bagi tujuan menjual dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Senjata Berjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:23 PM