KERJA pertukangan kayu di bengkel Sohigh Enterprise.
KERJA pertukangan kayu di bengkel Sohigh Enterprise.
ANISAH mewarisi kepakaran pertukangan kayu daripada arwah bapanya.
ANISAH mewarisi kepakaran pertukangan kayu daripada arwah bapanya.
ANTARA kemasan terakhir untuk salah satu produk Sohigh Enterprise.
ANTARA kemasan terakhir untuk salah satu produk Sohigh Enterprise.
CHALET rumah kutai ini bakal menyerikan HKK 2017.
CHALET rumah kutai ini bakal menyerikan HKK 2017.
Hartini Mohd Nawi


Seni pertukangan kayu diwarisi daripada arwah bapanya Mohd Noor Abdul Rahman digarap sebaik mungkin hingga menjadi identiti yang sarat nilai estetika tersendiri.

Bertubuh kecil molek, usahawan yang tidak pernah kenal erti putus asa ini juga semakin dikagumi ramai kerana saban waktu tampil dengan idea seni ukiran berbeza.

Ternyata Anisah Mohd Noor, 55, pengusaha Sohigh Enterprise menjadikan setiap kejayaan yang dikecapi hari ini antara pembakar semangat untuk terus mendalami dunia pertukangan kayu.

Kini bengkel berkeluasan satu setengah hektar yang terletak di Chemor, Perak itu tidak menang tangan menghasilkan tempahan pelanggan atau pencinta seni ukiran kayu.

Kunjungan penulis sempena program Media Turun Padang anjuran Kraftangan Malaysia, Isnin lalu menyaksikan Anisah dan pekerjanya sibuk menyiapkan produk terbaru untuk sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2017 di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur, minggu depan.

“Kita sudah maklum seni ukiran kayu memang tidak lapuk ditelan zaman, jadi usaha memartabatkannya perlu diteruskan supaya kekal menjadi kebanggaan khususnya buat generasi muda.

“Daripada material asas, reka bentuk hingga kemasan terakhir, semuanya diperhalusi sebaik mungkin,” katanya yang membina bengkel pertukangan kayunya itu sejak 15 tahun lalu.

Mengimbau kembali pembabitan awal, anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu berkata, sekitar 1992 kawasan bengkel berkenaan menjadi tapak nurseri untuk tanaman bunga dan pokok buah-buahan.

“Hingga satu ketika, ada yang bertanyakan berkenaan perabot taman, jadi situasi itu mencetuskan idea baru untuk terbabit secara serius dalam pertukangan kayu.

“Ditambah dengan arwah ayah saya dulu juga seorang tukang kayu, sudah tentu kesinambungan bakat atau kebolehan itu perlu diteruskan,” katanya yang turut mengikuti pelbagai kursus dalam bidang berkenaan.

Anisah berkata, setiap produk berasaskan kayu dihasilkan mengikut permintaan pelanggan daripada perabot untuk ruang sempit hingga perabot taman termasuk wakaf atau gazebo.

Peka dengan perkembangan semasa, produk kayu yang ditampilkan dalam tekstur dan warna asal atau natural mendapat sambutan menggalakkan.

Malah kemasan dan warna pelengkap gaya Inggeris khususnya putih juga tidak kurang tarikannya.

“Trend hari ini lebih kepada moden dan kontemporari.

“Namun pelengkap dekorasi tradisional atau Nusantara juga tetap menjadi pilihan dari ruang dalaman hingga taman,” katanya yang mendapat sokongan daripada suami, Shuhairi Sani, 57.

Dalam mempertahankan kualiti dan keaslian produk, kayu tahan lasak termasuk merbau, cengal dan balau antara material utama.

“Ini kerana nilai estetika tidak hanya terletak pada kemasan dan ukiran saja.

“Ia lebih daripada itu merangkumi pilihan material supaya kekal bertahan dalam jangka masa lama,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Chalet rumah kutai

Siapa yang tidak teruja sebaik melihat binaan unik chalet rumah kutai iaitu seni bina tradisional Perak yang ditampilkan dengan menerapkan identiti Sohigh Enterprise itu.

Rumah kutai adalah rumah tradisional Melayu di negeri Perak.

Ia banyak terdapat di kawasan berhampiran tebing sungai termasuk di Hilir Perak dan Kuala Kangsar.

Lantas dalam melihat kelainan dan nilai tradisional itu, Anisah cuba menzahirkan sebaik mungkin chalet rumah kutai dari sudut pandangan berbeza.

“Bagi menterjemahkan chalet rumah kutai ini, pelbagai aspek diambil kira termasuk rekaan ruang untuk disesuaikan dengan reka bentuknya yang kecil.

“Ciri-ciri tradisional termasuk pagar musang dan tingkap labuh juga diketengahkan.

“Tiga ruang disatukan dengan penggayaan dekorasi dalam suasana tradisional bagaikan rumah kutai dulu-dulu,” katanya.

Menurut Timbalan Pengarah kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin, binaan berasaskan kayu merbau dan cengal itu bakal menyerikan HKK 2017, minggu depan.

“Peruntukan juga disalurkan pihak Kraftangan Malaysia bagi chalet rumah kutai ini yang turut menampilkan kaedah pasang siap.

“Ditambah khidmat nasihat dan kepakaran usahawannya, sudah tentu hasrat mempertahankan khazanah tradisional ini dapat diteruskan,” kata Mohamad Rizan.

Bengkel Sohigh Enterprise terletak di No 104, Jalan Jelapang, Chemor.

Layari Facebook SohighEnterprise atau e-mel kepada [email protected] untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 12:22 PM