Hartini Mohd Nawi

BERBUSANA Melayu menyertai pameran dan saat tampil ke pentas untuk menerima anugerah bukan pengalaman biasa malah ia antara keistimewaan pakar kayu ini.

Tahun ini saja sudah lima pameran antarabangsa disertai termasuk di Wenzhou dan Khaihua, China; Vienna, Austria serta Istanbul, Turki.

Baru-baru ini, Abd Muhaimin Hasbollah, 54, baru saja selesai menyertai International Festival of Handicrafters Kokand, Uzbekistan.

Setiap perkembangan dikongsi di media sosial terutama Facebook yang nyata dicemburui peminat seni pertukangan dan ukiran kayu.

Menjadi nilai tambah buat lelaki gigih kelahiran Pontian, Johor yang kini menetap di Temerloh, Pahang ini apabila tidak pernah lupa menggayakan busana tradisional Melayu saat diberi peluang memperlihatkan kerja mengukir kayu di setiap pameran antarabangsa disertainya di seluruh dunia.

ABD Muhaimin bersama karyanya. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah
ABD Muhaimin bersama karyanya. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah

“Melangkah saja kaki keluar dari Malaysia, kita sebenarnya membawa bersama nama dan budaya negara yang terlalu unik untuk diperincikan.

“Berpakaian lengkap baju Melayu dengan bersamping dan bertanjak bagaikan membawa gambaran semangat bangsa yang jitu serta sarat keluhuran budi.

“Apatah lagi ia mesej jelas bangsa Melayu juga mempunyai kepakaran dan kelebihan setanding bangsa lain di dunia.

“Atas semangat itulah, saya sungguh berbangga melakukan kerja mengukir dengan berbusana tradisional Melayu,” katanya yang begitu mencintai seni ukiran kayu itu.

Mengakui cukup teruja dan bersyukur bakatnya menarik perhatian masyarakat Malaysia dan antarabangsa, Abd Muhaimin turut berkongsi beberapa persiapan sebelum berangkat ke luar negara.

LENGKAP berbusana Melayu di samping karya Love Of Nature. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah
LENGKAP berbusana Melayu di samping karya Love Of Nature. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah

“Sebaik menerima jemputan, saya pantas mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkenaan negara yang bakal saya kunjungi itu khususnya budaya dan gaya hidup masyarakatnya.

“Malah pengalaman rakan dan sanak saudara juga diambil kira. Ini semua penting dalam menjana ilham untuk kerja mengukir kelak.

“Sampai saja di sesebuah negara, biasanya saya mempunyai beberapa hari terluang sebelum berada di tapak pameran.

“Jadi, kesempatan itu saya gunakan dengan melihat suasana sekeliling. Biasanya tumbuhan antara yang menarik perhatian saya.

“Berbeza negara berbeza tumbuhannya. Sekali gus keunikan tumbuhan juga mencetuskan idea untuk motif ukiran saya,” katanya yang sering mendapat sokongan moral daripada isteri tercinta, Zarina Awang Samah, 55.

ABD Muhaimin tidak lupa meletakkan Jalur Gemilang bersama karyanya di setiap pameran yang disertai. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah
ABD Muhaimin tidak lupa meletakkan Jalur Gemilang bersama karyanya di setiap pameran yang disertai. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah

Berkongsi pengalaman menghasilkan ukiran Love Of Nature ketika di satu pameran di Turki, katanya, ilham tercetus berdasarkan acara di pinggir Laut Marmara yang turut dipenuhi burung berterbangan.

“Gabungan reka bentuk diilhamkan daripada bentuk asas bahagian kepala burung bangau yang banyak ditemui di tepi laut. Selain simbol kepada pelindung dan lambang kekuatan yang diolah dalam ukiran.

“Sekali gus melambangkan kecintaan manusia dengan alam semula jadi. Lingkaran awan larat motifnya padat dengannilai falsafah dan perincian warisan lambang budaya selain gabungan elemen kontemporari tradisional berkonsep Islam serta masyarakat tempatan,” katanya.

Mengimbau kembali awal pembabitannya dalam seni ukiran kayu, kata Abd Muhaimin yang digelar Master di luar negara itu berkata, dia menyertai Pusat Latihan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (kini Institut Kraf Negara) cawangan Pahang sesi 1985/86 untuk mengasah bakal yang ada pada dirinya.

GARAPAN ukiran bermotif bunga raya di Dewan Rakyat. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah
GARAPAN ukiran bermotif bunga raya di Dewan Rakyat. FOTO Ihsan Abd Muhaimin Hasbollah

Dalam menimba sebanyak mungkin ilmu ukiran, pada Ogos 1991 mencabar diri dengan membuka bengkel dinamakan Inakraf Wood Carving dengan menghasilkan produk tempahan ukiran kayu dan hiasan dalaman.

Pada masa sama, beliau turut menyertai beberapa pameran dan promosi anjuran Kraftangan Malaysia dan Tourism Malaysia di dalam serta luar negara antara 2000 hingga 2010.

Memasuki 2012 hingga kini nama Abd Muhaimin terus meniti di bibir peminat dan penganjur pameran ukiran kayu antarabangsa hingga diundang menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:15 AM