ORANG ramai dan pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi pencarian di lokasi kejadian. FOTO Reuters
ORANG ramai dan pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi pencarian di lokasi kejadian. FOTO Reuters
AP

Islamabad: Seramai 59 orang terbunuh, manakala lebih 150 orang cedera selepas seorang pengebom berani mati menyerang masjid ibu pejabat polis Peshawar, Pakistan, semalam.

Kebanyakan mangsa yang maut ialah anggota polis.

Perdana Menteri, Shahbaz Sharif berikrar mengambil tindakan tegas terhadap dalang insiden itu.

"Tragedi manusia berskala besar yang tidak dapat dibayangkan.

"Takziah kepada keluarga mangsa. Sudah pasti kesakitan mereka tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa yang cedera di Peshawar.

Dalam kejadian itu, lebih 300 jemaah sedang bersolat di masjid apabila pengebom itu membuka jaket bahan letupannya.

Pegawai polis, Siddique Khan berkata, pengebom itu meletupkan dirinya ketika berada dalam kalangan jemaah.

Pegawai polis lain, Zafar Khan berkata, ramai yang cedera apabila bumbung masjid itu runtuh.

Katanya, penyelamat terpaksa mengalihkan timbunan serpihan untuk mengeluarkan jemaah terperangkap di bawah runtuhan.

Jurucakap hospital kerajaan utama di Peshawar, Mohammad Asim mengesahkan, setakat ini, angka kematian mencecah 59 orang dengan 157 lagi cedera.

Komander Taliban Pakistan, Sarbakaf Mohmand juga dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan atau TTP, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu catatan di Twitter.

Namun beberapa jam kemudian, jurucakap TTP Mohammad Khurasani berkata, bukan dasar mereka menyasarkan masjid, seminari dan rumah ibadat.

Katanya, mereka yang mengambil bahagian dalam perbuatan itu boleh menghadapi tindakan hukuman di bawah dasar TTP.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengapa seorang komander TTP mengaku bertanggungjawab atas insiden pengeboman itu.

Pegawai kanan polis dan kerajaan menghadiri upacara pengebumian 30 pegawai polis dengan persiapan untuk mengebumikan mangsa selebihnya sedang dibuat.

Keranda turut dibalut dengan bendera Pakistan sebelum jenazah mereka diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric menyampaikan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menyifatkan pengeboman itu menjijikkan kerana menyasarkan rumah ibadat.

Dalam pada itu, pelbagai negara menerusi Kedutaan Arab Saudi serta Kedutaan Amerika Syarikat di Islamabad, berdiri teguh bersama Pakistan dan mengecam insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 10:11 AM