NENEK Maria meratap  kematian cucunya itu  di dalam ambulans ketika jenazahnya dibawa ke hospital lain untuk dibedah siasat.
NENEK Maria meratap kematian cucunya itu di dalam ambulans ketika jenazahnya dibawa ke hospital lain untuk dibedah siasat.
AFP

Islamabad: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mati selepas diseksa dan dibakar hidup-hidup kerana menolak lamaran anak lelaki bekas rakan sekerjanya, kata polis dan anggota keluarga mangsa.

Maria Sadaqat, 19, diserang sekumpulan lelaki lewat Isnin lalu di kampungnya di Upper Dewal.

Bapa saudaranya Abdul Basit berkata: “Dia diseksa teruk sebelum dibakar hidup-hidup. Kami mengejarkannya ke hospital di Islamabad, tetapi hari ini dia menghembuskan nafas terakhir.”

Saudara maranya meratap kematiannya di luar pusat perubatan itu ketika polis membawa jenazahnya ke hospital lain untuk dibedah siasat.

Abdul Basit berkata, Maria diserang guru besar sekolah swasta tempat dia mengajar sebelum ini.

Serangan itu dilakukan bersama beberapa lelaki lain selepas mangsa menolak lamaran anak guru besar terbabit.

“Maria menolak lamaran kerana lelaki itu sudah bercerai dengan isterinya dan berusia dua kali ganda daripada mangsa.

“Dia dilamar berulang kali sehingga memutuskan untuk berhenti mengajar di sekolah itu.

“Namun, akhirnya mereka lakukan dia sebegitu pula,” katanya.

Polis berkata, Maria sempat memberi keterangan dan menamakan pengetua terbabit serta empat yang lain sebagai penyerangnya.

Ketua penyiasat, Mazhar Iqbal berkata: “Kami sudah menangkap sekurang-kurangnya seorang suspek dan kini memburu yang lain.”

Dr Ayesha Ihsani dari hospital berkenaan berkata, Maria mati akibat melecur teruk.

Ini kali kedua dalam masa sebulan seorang wanita mati dibunuh kerana menolak lamaran.

Pada 29 April lalu, seorang remaja dipercayai berusia antara 16 dan 18 tahun diberi dadah sebelum dicekik dan mayatnya dibakar atas arahan jirga (jawatankuasa kampung) di barat laut Pakistan kerana didakwa membantu rakannya melarikan diri bersama kekasih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:35 AM