Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan PBB (OHCHR) mengenai kekejaman penghapusan etnik pasukan keselamatan Myanmar terhadap Rohingya.
Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan PBB (OHCHR) mengenai kekejaman penghapusan etnik pasukan keselamatan Myanmar terhadap Rohingya.

Cox's Bazar, Bangladesh: Anak yang menangis dikelar leher ketika ibunya diperkosa, keluarga termasuk orang tua dan orang cacat dibakar bersama rumah, kanak-kanak 11 tahun dirogol beramai-ramai, remaja 14 tahun diperkosa tentera yang membunuh ibu serta dua adik perempuannya antara fakta tercatat dalam laporan agensi PBB mengenai kekejaman penghapusan etnik pasukan keselamatan Myanmar terhadap Rohingya.

Kanak-kanak Rohingya dalam sekolah yang amat daif di kem pelarian Kutupalang, Cox’s Bazar, Bangladesh - Foto REUTERS
Kanak-kanak Rohingya dalam sekolah yang amat daif di kem pelarian Kutupalang, Cox’s Bazar, Bangladesh - Foto REUTERS

Semua itu sudah dilaporkan sebelum ini namun ia kini menjadi fakta rasmi kerana dimasukkan dalam laporan oleh empat penyiasat Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan PBB (OHCHR), termasuk temuramah dengan 204 pelarian wanita dan lelaki di Bangladesh.

Portal berita Herald (Scotland) melaporkan, laporan itu yang disiarkan minggu lalu, dengan jelas menunjukkan kaum lelaki menjadi sasaran kerajaan Myanmar kerana majoriti pelarian ialah wanita dan kanak-kanak.

Linnea Arvidsson yang mengetuai pasukan empat penyiasat OHCHR, berkata: “Majoriti pelarian yang tiba sekarang adalah wanita. Ramai beritahu suami, bapa saudara dibunuh atau abang, adik lelaki hilang. Ke mana semua lelaki?”

Linnea Arvidsson yang mengetuai pasukan empat penyiasat OHCHR, berkata pasukan keselamatan menangkap ramai lelaki Rohingya dan dibawa ke tempat tidak diketahui.

Menurutnya, pihak berkuasa Myanmar tidak menyatakan dengan jelas jumlah yang ditahan namun maklumat daripada pihak penjara bulan lalu, menyatakan mereka hanya menahan kira-kira 450 lelaki Rohingya.

Menurut laporan itu, Lelaki Rohingya berusia semuda 17 tahun hingga 45 tahun kini lenyap, diyakini menjadi sasaran sama ada dibunuh atau ditangkap kerana dianggap berpotensi sebagai ancaman.

“Kita memperkatakan mengenai ratusan kematian namun ia mungkin rendah kerana berkemungkinan besar membabitkan ribuan kematian.

“Terus terang kami bagaikan tidak sanggup melakukan temuramah dengan pelarian, terlalu banyak kisah ngeri dan terlalu sedih.

“Saya tidak pernah menempuh keadaan seperti ini, menemuramah ramai orang dalam masa singkat yang semuanya memberikan cerita hampir sama.

“Ibu berkata, ‘ketika saya dirogol, anak perempuan saya berusia lima tahun yang menangis cuba melindungi saya, dikelar leher’.

“Selepas temuramah, saya masih tidak mampu membayangkan apa yang yang mereka sudah tempuh. Ia amat mengerikan, tidak terfikir akal boleh berlaku,” kata Arvidsson.

Laporan OHCHR itu juga menyatakan tentera Myanmar menembak dari helikopter, termasuk mencampak bom tangan bagi membunuh iman dan guru.

Menurut laporan itu, daripada 101 wanita yang ditemuramah, lebih separuh memberitahu mereka menjadi mangsa rogol atau dirogol beramai-ramai.

Pasukan penyiasat itu juga menerima laporan pasukan keselamatan Myanmar membunuh kanak-kanak berusia enam tahu dan ke bawah menggunakan pisau.

Portal berita Independent.ie memetik laporan OHCHR yang sama, melaporkan saksi memberitahu tentera dan polis dibantu penduduk tempatan membunuh bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua, menembak mereka yang melarikan diri, membakar seluruh kampung, penahanan beramai-ramai, rogol dan keganasan seks besar-besaran yang sistematik dan memusnahkan makanan serta sumber makanan.

Laporan itu menyatakan, pasukan keselamatan membelasah, merogol dan membunuh etnik Rohingya di depan ahli keluarga dan saudara-mara secara terbuka bertujuan mencetuskan ketakutan dan penghinaan.

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol beramai-ramai oleh tentera memberitahu ibu dan dua adik perempuannya tidak dibunuh dengan tembakan, tetapi dikelar, ditikam dengan pisau.

Remaja 18 tahun menceritakan ibunya yang berusia 60 tahun yang sudah tidak berdaya, ditangkap tentera ketika cuba melarikan dan lehernya dikelar dengan pisau panjang.

Dalam satu lagi kejadian, bayi lapan bulan dibunuh ketika ibunya diperkosa lima anggota pasukan keselamatan Myanmar.

Semua temuramah itu dicatat dalam laporan siasatan OHCHR namun, namun pasukan penyiasat itu menghadapi masalah besar untuk pengesahan secara rasmi kerana Myanmar tidak membenarkan wakil bebas termasuk PBB dan wartawan memasuki Rakhine yang menjadi medan pembunuhan etnik Rohingya dan jenayah kemanusiaan.

Bagaimanapun, pasukan itu mengumpul bukti sokongan lain di Bangladesh, termasuk gambar dan rakaman video oleh mangsa, ramai pelarian mempunyai kesan luka akibat peluru dan senjata tajam serta imej satelit perkampungan yang musnah.

Tokoh politik dan pemenang Anugerah Keamanan Nobel yang memperjuangkan demokrasi di Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang lebih berkuasa daripada perdana menteri negara itu bukan saja berdiam diri mengenai krisis Rohingya malah menolak permintaan PBB untuk masuk ke Rakhine.

“Amat malang Suu Kyi lebih mengutamakan politiknya daripada naluri kemanusiaan, tambahan pula Rohingnya adalah penduduk yang tidak dikehendaki di Myanmar,” kata Pengarah Human Rights Watch (HRW) Australia,

Elaine Pearson.

Sebahagian besar daripada antara 1.1 juta hingga 1.3 juta etnik Islam Rohingya tinggal di Rakhine, utara Myanmar, negara yang penduduk majoritinya beragama Buddha. Kerajaan Myanmar menganggap Rohingya adalah pendatang dari Bangladesh, bukan warganegara dan mereka dinafikan hak kemudahan persekolahan, perubatan dan pekerjaan walaupun hakikatnya etnik berkenaan sudah lama tinggal di negara itu.

Serangan terhadap Rohingya memuncak Oktober tahun lalu, selepas sembilan polis Myanmar dibunuh di sempadan Myanmar-Bangladesh dengan kerajaan menuduh dilakukan pemberontak Rohingya.

Kerajaan melancarkan kempen pembersihan dengan alasan mencari pemberontak terbabit dan sejak itu, lebih 70,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 12:50 PM