KANAK-kanak Rohingya beratur mengambil bekalan makanan di Cox Bazar, Bangladesh.
KANAK-kanak Rohingya beratur mengambil bekalan makanan di Cox Bazar, Bangladesh.
AFP

Shah Porir Dwip (Bangladesh): Pelarian etnik Rohingya berterusan tiba di Bangladesh dari Myanmar yang dilanda konflik hingga menjadikan seluruh kampung kosong apabila ribuan menuju sempadan ketika pasukan tentera menggiatkan usaha supaya penduduk meninggalkan rumah mereka.

Lebih 500,000 Muslim Rohingya sudah lari menyelamatkan diri dalam konflik etnik berdarah di Myanmar bulan lalu dan jumlahnya terus meningkat dengan pihak Bangladesh melaporkan antara 4,000 hingga 5,000 menyeberangi sempadan setiap hari.

Dianggarkan, lebih 10,000 lagi berduyun-duyun di kawasan Myanmar berhampiran sempadan Bangladesh bersedia untuk menyertai ratusan ribu pelarian Rohingya untuk meneruskan kelangsungan hidup di kem serba daif sepanjang sempadan.

Ketibaan pelarian baru secara berterusan itu mencetuskan pandangan daripada pihak Rohingya adalah langkah mengosongkan penghuni umat Islam di Rakhine sekali gus meragui cadangan Myanmar untuk memulakan penghantaran kepulangan semula minoriti teraniaya itu.

PELARIAN  Rohingya beratur mendapatkan bantuan.
PELARIAN Rohingya beratur mendapatkan bantuan.

Dalam tempoh beberapa minggu Rakhine dikosongkan membabitkan separuh daripada jumlah penduduk Rohingya, ramai lagi bergerak keluar kerana merasai tekanan tidak selamat dan mahu melepaskan diri daripada keganasan kaum terburuk yang berlaku di wilayah itu.

Rashida Begum, yang tiba di Bangladesh lewat Isnin, berkata pegawai tempatan memberi jaminan kepada komuniti Rohingya mereka selamat sekiranya mereka kekal tinggal di kampung.

“(Tetapi kemudian) tentera datang dari pintu ke pintu lalu memerintahkan kami untuk pergi. Mereka berkata tidak akan membahayakan kami.

“Tetapi akhirnya mereka mengusir kami dan terus membakar rumah kami,” katanya mengenai operasi ‘menyapu’ dilakukan tentera pada Jumaat lalu.

Media di Myanmar melaporkan Rohingya yang melarikan diri sudah meninggalkan ‘kehendak mereka sendiri’ walaupun jaminan diberi mereka akan selamat.

KANAK-kanak Rohingya mandi di sungai berdekatan kem pelarian Kutupalang.
KANAK-kanak Rohingya mandi di sungai berdekatan kem pelarian Kutupalang.

“Saya mahu tinggal di kampung saya.

“Mereka (pegawai tempatan) cakap ‘jangan pergi ke Bangladesh, semuanya akan baik-baik saja’...kami percaya mereka, tetapi tidak ada yang bertambah baik,” kata Hasina Khatum, 25, di bandar sempadan pantai Shah Porir Dwip.

Seorang ahli dewan rakyat tempatan kawasan itu Fazlul Haq berkata, aliran bot pengungsi hampir tiada menjelang akhir September lalu namun kembali rancak dua tiga hari kebelakangan membawa ramai keluarga Rohingya yang mengadu mengenai ancaman tentera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengatakan bahawa 509,000 pelarian sudah menyeberang ke Bangladesh pada 30 September lalu.

Kebanjiran pelarian yang bermula selepas 25 Ogos lalu ketika dakwaan serangan oleh militan Rohingya menimbulkan tindak balas keras tentera Myanmar sehingga PBB menyifatkannya sebagai ‘pembersihan etnik’.

Kerajaan Myanmar enggan mengakui Rohingya sebagai kumpulan etnik yang berbeza dalam negara itu dan menganggap mereka pendatang haram dari Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:54 AM