Adam Salleh

Pantang idea terlintas, ada saja lagu-lagu satira masyarakat akan dihasilkannya. Ketika aktif berkarya era 1980-an dulu, pernah dalam sebulan Hang Mokhtar berjaya menerbitkan satu album mengandungi 10 lagu. Selama bergiat dalam dunia hiburan sebagai pemuzik, penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi hampir setengah abad ini, Hang Mokhtar sudah mencipta 90 lagu.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Begitulah kondisi terkini Hang Mokhtar ketika ditemui dikediamannya di Taman Puncak Bukit Jalil. Beliau tidak boleh lagi mencipta lagu bukan kerana kontang idea, merajuk atau ‘diboikot’ oleh pihak tertentu, sebalik kudratnya sudah tidak segagah seperti dahulu sejak dikesan mengidap penyakit parkinson empat tahun lalu.

Ikutkan Hang Mokhtar tidak mahu diinterbiu, malah katanya, suatu ketika wartawan terkenal Juwie (Allahyarham Jalil Salleh) mahu menemurahnya tetapi dia mengelak kerana tidak mahu keuzurannya itu menjadi modal menagih simpati. Sebagai rakan lama, penulis rasa bertuah diberi ‘lampu hijau’ oleh Hang Mokhtar untuk bertandang ke kediamannya semalam.

Melihat raut wajahnya dengan tangan terketar-ketar dan perbualan tidak lancar, memang jauh berbeza dengan Hang Mokhtar yang kita kenali, berwajah ceria dan bermisai tebal. Sesekali merenung wajahnya timbul rasa sebak, namun tersenyum sendiri mengenang aksi humornya ketika menyanyikan lagu Ayo Yo Sami, Lubang Korek, Bilo Den Pencen Askar dan Perempuan.

Perbualan kami turut ditemani isteri beliau, Maimun Mat Zin, 67. Berdasar cerita Maimun, keluarga mula menyedari kesihatan Hang Mokhtar terjejas pada 2010 apabila ketika menulis, tulisannya tidak sekata dan makin mengecil. Sekembali dari menunaikan haji pada 2012, parkinsonnya kian kronik hingga menyukarkannya bermain keyboard untuk menghasilkan lagu.

Selama menghasilkan lagu termasuklah berduet dengan Datuk Yusni Hamid, R Ismail, Aspalela Abdullah, Ayati Tasrip, Raftah Bachok dan Norlia Ramli, proses rakaman dikendalikan di studio mini di dalam rumahnya sendiri. Studio dibina pada 2006 adalah ruang untuk Hang Mokhtar berkarya, kini sejak keuzurannya studio dan keyboard miliknya cuma merakam memori.

Masanya kian banyak habis dengan berehat dan tidur, lazimnya selepas waktu Maghrib, beliau tidur dan bangun menjelang Subuh. Perkembangan dunia hiburan masih diikuti hinggakan beliau tahu nasib menimpa penyanyi Ben Nathan (Ben Adam). Agak mengecewakan puluhan persatuan seni dan artis tumbuh di tanah air, seorang presiden pun tidak pernah menjenguknya.

Bagi Hang Mokhtar, dia hanya tersenyum apabila soalan itu diajukan kepadanya. “Tidak mengapa, dia orang pun sibuk.” Cuma penulis berterima kasih pada Timbalan Presiden Seniman Malaysia, Zack Kool yang memaklumkan mengenai perkembangan terkini Hang Mokhtar. Yang kita maklum, SENIMAN itu lazimnya lebih sinonim dengan kelompok pelakon bukanlah penyanyi.

Dalam terketar-ketar, Hang Mokhtar berusaha melawan penyakitnya lalu membuka YouTube di telefon bimbitnya menunjukan kepada penulis dan jurugambar (Saiful Iskandar Ismail dan Nurul Shafina Jemenon) pelbagai genre lagu dihasilkannya. Secara peribadi kata Hang Mokhtar, namanya sememangnya kuat kerana ramai peminat tahu lagu karyanya, cuma mereka tidak mengenai siapakah dan wajah sebenar Hang Mokhtar itu?

“Ada jiran saya, bila saya kata sayalah Hang Mokhtar, dia seperti tidak percaya,” kata Hang Mokhtar tergelak.

Parkinson dikesan pertama kali pada 16 Julai 1890 oleh Dr James Parkinson iaitu penyakit penurunan fungsi sistem saraf. Penyakit ini dianggap sebagai gangguan gerak kerana menyerang sistem motorik dan dianggarkan sekitar tujuh juta orang di seluruh dunia mengalami parkinson termasuk legenda peninju dunia, Allahyarham Muhammad Ali.

Cuma kata Hang Mokhtar, berdasarkan kata doktor pakar dari Hospital Serdang, Parkinson dihadapi baru tahap tiga berbanding dengan Muhammad Ali yang lebih kronik.

“Ini bukan penyakit keturunan, ini penyakit kurniaan Tuhan, sebagai hamba saya reda,” kata Hang Mokhtar. Penyanyi lain pernah kena Parkinson, Allahyarham A Ramlie.

Dilahirkan pada 15 Mac 1948, Hang Mokhtar atau nama sebenarnya Mohtar Ab Latiff adalah anak sulung tujuh beradik. Bakat seni diperoleh daripada ayahnya yang turut berkarya bersama A Rahman mencipta lagu Ayah dan Ibu. Lagu dinyanyikan oleh A Rahman sendiri pernah dipopularkan oleh Sudirman Haji Arshad (Allahyarham, Datuk). Dalam meniti hari-hari sepinya, Hang Mokhtar tetap bersyukur dengan populariti dimiliki meskipun miskin publisiti, namun bahagia bersama tiga anak (usia 38 hingga 44 tahun) dan cucu berusia 2 tahun hingga 19 tahun.

Di sisi lain, Hang Mokhtar berharap agar peminat dan rakan taulan usah tersalah anggap yang meninggal dunia dulu (sekitar 2009) hingga terpempang gambarnya di akhbar bukanlah beliau, tetapi ‘Abang Mokhtar’ bekas anggota The Goodman Brothers. Muzik bagi Hang Moktar sukar dipisahkan, namun sebagai insan seni beliau menyuarakan isi hati perihal muzik.

“Cuba kita bayangkan jika hidup ini tanpa muzik. Jika di dalam satu perayaan negara tanpa pemuzik. Jika radio tanpa muzik, jika wayang tanpa muzik bayangkanlah. Jika kita anggap muzik itu melalaikan, itu terpulang pada caranya, tetapi jika sudah jadi pekerjaan saya rasa patut bekerja keras. Memilih muzik sebagai karier adalah satu perjudian untuk menghadapi hari tua,” katanya.

Lagu : Bilo Den Pencen Askar,

Bilo den pencen askar,

den selalu termonong,

den bungkus tika banta,

den terus balik kampung,

anak ado limo,

semuo masih sekolah,

kalau tak cukup belanjo,

den buleh motong gotah.

Penulis Pengarang

Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:17 AM