SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) menyaksikan penyerahan cek daripada CCM kepada PPA. Hadir sama, Leonard Ariff (tiga dari kanan) dan Samuel Ng (kiri).
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) menyaksikan penyerahan cek daripada CCM kepada PPA. Hadir sama, Leonard Ariff (tiga dari kanan) dan Samuel Ng (kiri).
PERSATUAN bantu cari rawatan lebih berkesan bangunkan penawar penyakit.
PERSATUAN bantu cari rawatan lebih berkesan bangunkan penawar penyakit.
Zaitie Satibi


Parkinson iaitu penyakit saraf progresif yang mengganggu kemampuan pergerakan akan mengurangkan keupayaan pergerakan badan penghidapnya setiap hari. Sukar juga untuk mendiagnosis dan merawat penyakit ini kerana tiada dua kes yang serupa, malah penyakit ini juga belum ada penawarnya.

Walaupun segelintir pesakit mengalami gejala yang ketara seperti kesukaran untuk berjalan dan tangan terketar-ketar, ada juga yang tidak pernah mengalami keadaan ini. Mereka menghabiskan masa berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kepastian bagi keadaan mereka.

Presiden Persatuan Parkinson Perak (PPA), Samuel Ng berkata, ada pesakit Parkinson yang enggan keluar dalam khalayak ramai kerana malu atau takut dipandang serong.

Samuel cukup arif dengan perjuangan dan kesulitan yang dihadapi oleh penghidap Parkinson kerana beliau sendiri adalah pesakit Parkinson.

“Saya bersama ahli PPA sentiasa melalui pelbagai kesulitan dalam perjuangan kami sebagai pesakit Parkinson. Oleh itu, kami ingin membantu dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada golongan yang senasib dengan kami.

“Kami percaya langkah ini boleh membantu pakar perubatan untuk mencari rawatan yang lebih berkesan dan seterusnya membangunkan penawar untuk penyakit ini,” katanya.

Katanya, PPA selepas empat tahun ditubuhkan berjaya membina rangkaian perhubungan dengan pakar global terkenal dan menjalin kerjasama dengan sebuah yayasan yang berpusat di Amerika Syarikat untuk meningkatkan kesedaran, diagnosis dan kemudahan rawatan untuk penghidap Parkinson.

PPA juga mendapat peluang membina rangkaian dengan pakar kesihatan profesional dan rakan sesama pesakit Parkinson di Kongres Parkinson Sedunia (WPC) di Kanada pada 2013.

“Kami berharap untuk meluaskan capaian global di Kongres Sedunia akan datang yang bakal dianjurkan di Portland, Oregon, Amerika Syarikat pada September ini, dengan sumbangan RM100,000 daripada Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).

“Setakat ini PPA menjalin hubungan dengan dua pakar Parkinson terkenal dan dihormati, ahli neurologi akademik Dr John Stamford yang menjalankan penyelidikan lebih 20 tahun dalam penyakit ini dan John Baumann iaitu penceramah motivasi dan ahli akademik di University of Louisville, Amerika Syarikat.

“PPA juga mengadakan kerjasama dengan Yayasan Davis Phinney yang dinamakan atas bekas pelumba basikal Amerika Syarikat yang menjuarai Tour de France sebanyak dua kali dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik dan disahkan menghidap Parkinson pada usia muda iaitu 41 tahun,” katanya.

Di sisi lain, legenda tinju dunia, Muhammad Ali juga menderita penyakit yang sama sejak 1984 dan beliau meninggal dunia baru-baru ini pada usia 74 tahun akibat komplikasi penyakit terbabit.

Menurut Samuel, misi utama PPA adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini dalam kalangan profesional dan orang ramai. Persatuan ini sedang bersiap sedia untuk menghadiri WPC 2016 akan datang dan berharap untuk menghantar 30 hingga 40 wakil termasuk dua pakar perubatan profesional tempatan.

“Dengan sokongan CCM, kami mengorak langkah seterusnya untuk menghadiri WPC 2016 yang akan datang. Kali ini, kami mahu membawa bersama pakar perubatan tempatan yang menunjukkan minat mendalam untuk membantu PPA dan menambah pengetahuan serta tiga kepakaran mereka bagi merawat penyakit ini.

“Dengan pengetahuan yang diperoleh, saya yakin peserta akan lebih berupaya untuk membantu masyarakat Parkinson di Perak dan juga di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, CCM berbangga kerana dapat menyokong persatuan Parkinson yang terkemuka di negara ini dan yakin dengan misi mereka.

“Walaupun penawar bagi penyakit Parkinson masih belum ditemui, usaha PPA untuk meningkatkan kesedaran, kemudahan rawatan dan diagnosis tepat pada masanya dan patut dipuji kerana ia penting untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit Parkinson di Malaysia.

“Kami di CCM juga ingin memainkan peranan aktif untuk menyokong PPA dan secara tidak langsung dapat membantu lebih 20,000 penghidap penyakit ini di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:03 AM