ASKAR Filipina ketika menyertai satu latihan di selatan negara itu baru-baru ini. - CNN
ASKAR Filipina ketika menyertai satu latihan di selatan negara itu baru-baru ini. - CNN
Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam membatalkan gencatan senjata dengan pemberontak komunis dan mengarahkan tentera negara itu bersedia untuk berperang serta mengisytiharkan tiada lagi rundingan damai dengan kumpulan itu selama satu generasi.

Duterte sebelum ini bertekad mengadakan rundingan damai dengan beberapa kumpulan pemberontak di Filipina tetapi kecewa dengan tuntutan yang dibuat sayap bersenjata komunis, Tentera Baru Rakyat (NPA).

Dia juga berang dengan kematian tujuh askar negara itu manakala tiga lagi ditawan sejak NPA menamatkan gencatan senjata tiga hari lalu.

“Saya kehilangan ramai askar dalam tempoh hanya 48 jam dan berpendapat untuk meneruskan gencatan senjata tidak akan menghasilkan apa-apa.

“Saya mengarahkan askar untuk kembali ke kem, bersihkan senjata dan bersedia untuk bertempur,” katanya.

Pemberontak komunis yang mendakwa masih menyokong proses damai menggesa Manila membebaskan semua anggota mereka dan menuduh tentera menguasai 500 daerah di Mindanao dikawal kumpulan itu.

Bagaimanapun, tentera menuduh NPA melanggar gencatan senjata beberapa kali.

Kata Duterte, permintaan pemberontak itu terlalu besar dan dia sudah menunjukkan kesungguhan dengan membebaskan beberapa pemimpin utama komunis.

“Saya minta maaf. Saya sudah cuba yang terbaik tetapi ia masih tidak mencukupi.

“Tiada lagi keamanan di wilayah ini selagi berdepan dengan Parti Komunis. Mari sambung peperangan ini.

“Dengan perasaan sedih saya melaporkan kepada kamu, tiada lagi keamanan dengan komunis untuk generasi seterusnya,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:09 AM