DUTERTE
DUTERTE
Agensi

Manila: Kerajaan Filipina semalam mengancam menarik balik arahan gencatan senjata yang dikeluarkannya tiga hari lalu selepas pemberontak komunis disyaki menembak mati seorang tentera kerajaan dan mencederakan empat yang lain.

Presiden Rodrigo Duterte memberitahu tentera negara itu, dia menelefon dan meminta anggota Parlimen berhaluan kiri supaya memaklumkan kepada gerila komunis bahawa mereka mempunyai masa hingga hari ini untuk memberitahunya sama ada mereka mahukan gencatan senjata.

Jika tidak, katanya, kedua-dua pihak boleh ‘kembali berperang.’

Dia juga memberi amaran kepada pemberontak itu, sekiranya seorang lagi askar mati, kerajaan akan melancarkan serangan dan tawaran gencatan senjata itu terbatal.

Duterte mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak dengan gerila komunis berkuatkuasa Isnin lalu dalam usaha untuk menamatkan pemberontakan berdarah dan menyambung semula rundingan damai.

Gerila berkenaan mengalu-alukan langkah itu dan berkata, mereka akan menimbang untuk mengisytiharkan gencatan senjata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:03 AM