GAMBAR fail, anggota NPA menjalani latihan di satu lokasi rahsia di selatan Filipina. - Agensi
GAMBAR fail, anggota NPA menjalani latihan di satu lokasi rahsia di selatan Filipina. - Agensi

Manila: Pemberontak komunis Filipina semalam berkata, kumpulan itu menamatkan gencatan senjata sebelah pihak yang diisytiharkan lima bulan lalu dan akan meneruskan perang gerila yang sudah meragut puluhan ribu nyawa.

Sayap bersenjata komunis, Tentera Baru Rakyat (NPA) memberitahu, gencatan senjata yang dipersetujui hingga Ogos ini akan ditamatkan pada 10 Februari ini.

Bagaimanapun, kumpulan itu masih menyokong rundingan damai dengan kerajaan pimpinan Presiden Rodrigo Duterte.

“Mengikut pengalaman kami dan pihak lain, rundingan boleh dijalankan ketika pertempuran sehingga perjanjian substantif dimeterai bagi menyelesaikan punca konflik bersenjata dan meletakkan asas untuk keadilan dan keamanan yang berkekalan,” kata NPA dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan itu dibuat kerana kerajaan gagal mematuhi tanggungjawabnya untuk memberi pengampunan dan membebaskan semua tahanan politik.

NPA juga menuduh kerajaan secara khianat mengambil kesempatan terhadap gencatan senjata untuk menceroboh kawasan mereka.

Sementara itu, penasihat presiden dalam rundingan damai, Jesus Dureza berkata, dia kecewa dengan keputusan NPA itu yang dibuat ketika wakil kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan gencatan senjata dua hala.

Namun, katanya, dia memberi cadangan kepada Duterte supaya gencatan senjata di pihak kerajaan dikekalkan bagi membolehkan rundingan damai diadakan dalam suasana yang kondusif. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:36 AM